EKONOMI > BERITA

Pendapatan Industri Aeroangkasa Diunjur Cecah RM55 Bilion Menjelang 2030 - MITI

13/02/2025 04:08 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Pendapatan industri aeroangkasa negara dijangka mencecah RM55 bilion selaras dengan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri.

“Jumlah pendapatan industri itu kini sekitar RM20 hingga RM21 bilion. Banyak lagi usaha yang perlu kita lakukan dan salah satu komponen penting dalam usaha ini adalah memupuk bakat, ia merupakan pemangkin untuk mencapai sasaran dalam pembangunan industri aeroangkasa secara holistik,” katanya ketika ditemui Bernama selepas merasmikan Simposium MyAERO TVET 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Beliau berkata: “Antara kelebihan Malaysia ialah ekosistemnya yang lengkap, merangkumi sumber manusia, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta kemudahan kejuruteraan. Semuanya sudah kita miliki...ini adalah salah satu kekuatan perlu kita manfaatkan sepenuhnya.”

Hanafi juga berkata kerajaan akan terus memantau pelaksanaan dan pencapaian inisiatif seperti MyAERO TVET 2025 melalui jawatankuasa khas dan agensi berkaitan bagi memastikan ia memberi impak diharapkan.

"Banyak perkara dalam negara ini tidak berlaku secara kebetulan. Kita merancang, ada hala tuju jelas, melaksanakannya dengan teliti dan memantau pencapaiannya menerusi jawatankuasa serta agensi seperti Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara Malaysia (NAICO Malaysia)", katanya.

Menurutnya, sektor aeroangkasa negara kini berada dalam fasa pertumbuhan pesat, didorong oleh peningkatan trafik penerbangan dan perkembangan industri pelancongan.

"Semalam, kerajaan negeri Sarawak mengumumkan pengambilalihan MASwings dan ini membuktikan banyak peluang sedang terbuka. 

"Apa yang kita perlukan sekarang adalah platform sesuai untuk memastikan semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dalam membangunkan ekosistem industri aeroangkasa negara," katanya.

Simposium MyAERO TVET 2025 adalah untuk memperkukuh pembangunan tenaga kerja dalam industri aeroangkasa melalui kerjasama antara kerajaan, industri, dan institusi pendidikan.

Program ini turut menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pemain industri bagi memperkukuh latihan serta pembangunan teknologi aeroangkasa.

--BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan