EKONOMI > BERITA

CelcomDigi Catat Untung Bersih Rendah Sedikit Kepada RM1.38 Bilion Pada Tahun Kewangan 2024

13/02/2025 04:10 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- CelcomDigi Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sedikit kepada RM1.38 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 (TK2024) daripada RM1.55 bilion pada tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata hasilnya konsisten kepada RM12.68 bilion, dengan pertumbuhannya terhad disebabkan pemerolehan kad SIM kepada sekali sahaja dan penyatuan kad SIM berikutan penggabungan berkenaan

"Hasil pengguna pascabayar meningkat dengan pertumbuhan langganan, manakala segmen mudah alih perusahaan menyaksikan penurunan dalam asas langganan.

"Selain itu, perkhidmatan kediaman dan gentian mencapai peningkatan hasil sebanyak 28.4 peratus, mencecah 209,000 langganan," katanya.

CelcomDigi berkata segmen borong kekal stabil, dengan peningkatan hasil pusat trafik telekomunikasi, talian pajakan, dan penyelesaian yang mengimbangi berakhirnya pengaturan bagi perayauan domestik sejak Disember 2023.

Bagi suku keempat (S4 2024), keuntungan bersih mengecil kepada RM157.04 juta daripada RM435.15 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, manakala hasil kekal tidak berubah pada RM3.27 bilion.

Syarikat itu berkata jumlah hasil adalah stabil pada S4 2024 dengan peningkatan dalam hasil peranti, prestasi hasil pascabayar yang kukuh disokong oleh pertumbuhan pelanggan dan pertumbuhan dua angka yang konsisten dalam segmen kediaman dan gentian, di mana pelanggan mencecah 209,000 yang mencerminkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 78,000.

Bagaimanapun, ia berkata pertumbuhan menjadi sederhana susulan peralihan strategik daripada pemerolehan kad SIM prabayar sekali, penyatuan kad SIM dan kesan pengurangan kadar terkawal ke atas hasil saling berhubung.

Mengenai prospek, CelcomDigi akan menumpukan kepada mempergiatkan program transformasinya dan optimistik untuk mencapai pertumbuhan yang mampan sejajar dengan peluang-peluang pasaran pada 2025.

“Syarikat akan memberi tumpuan untuk berkembang sebagai peneraju pasaran yang merentas perniagaan dan mewujudkan laluan untuk pertumbuhan menguntungkan bagi jangka panjang, meningkatkan nilai kepada asas kami melalui perkhidmatan nilai tambah digital, memacu kecemerlangan operasi melalui pengoptimuman struktur kos dan perubahan model operasi serta akan terus melabur untuk masa depan dan membina keupayaan baharu,” katanya.

Sementara itu, CelcomDigi mengisytiharkan dividen interim satu peringkat keempat sebanyak 3.7 sen sesaham untuk TK 2024, dibayar pada 27 Mac, 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan