EKONOMI > BERITA

Kurang Pelaburan, Kos Modal Pembangunan Gas Naik Lemahkan Keterjaminan Tenaga - IGU

13/02/2025 04:31 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Kurangnya pelaburan serta berlaku peningkatan kos modal untuk pembangunan gas akan membahayakan keterjaminan tenaga selain melemahkan keupayaan industri untuk menyediakan tenaga mampu milik, boleh dipercayai dan lestari kepada orang ramai, kata Presiden Kesatuan Gas Antarabangsa (IGU) Li Yalan.

Beliau berkata, ini sekali gus mendorong kesatuan menggesa dan menggalakkan ahli-ahlinya serta pihak berkepentingan utama global supaya memastikan berlaku pelaburan dan akses pembiayaan untuk gas.

"Bagi campuran tenaga di Asia yang bergantung kepada arang batu pada masa ini, gas asli merupakan satu daripada tenaga asas untuk menyokong peralihan tenaga dan usaha keseimbangan karbon negara-negara terlibat.

"Sehingga teknologi penyimpanan elektrik jangka panjang, komersial dan berskala besar matang, gas asli masih memainkan peranan penting dalam sistem tenaga," katanya sewaktu menghadiri Edisi Keempat Simposium Gas Malaysia (MyGAS 2025) di sini hari ini.

Beliau berkata unjuran menunjukkan gas asli memenuhi kira-kira 40 peratus daripada peningkatan permintaan tenaga global pada 2024, lebih tinggi berbanding bahan api lain.

Penggunaan gas asli global mencapai rekod paras tertinggi iaitu sebanyak 4,212 bilion meter padu (bcm) dengan peningkatan 2.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pertumbuhan yang kukuh ini terutamanya disebabkan oleh rantau Asia Pasifik menyumbang hampir 45 peratus daripada permintaan gas tambahan pada 2024 berikutan pembangunan ekonomi berterusan selain menunjukkan masih terdapat potensi besar untuk pembangunan gas asli di Asia Pasifik.

"Pada 2025, penggunaan gas asli dunia dijangka mencapai 4,292 bcm. Asia Pasifik akan terus menyumbang sebahagian besar daripada peningkatan tersebut.

"Pada masa sama, Eropah dijangka mengimport lebih banyak gas asli cecair (LNG) bagi menggantikan gas saluran paip. Semua faktor ini akan memberi impak kepada bekalan dan harga pasaran gas global yang keseimbangannya masih rapuh," kata Li.

Di peringkat tempatan, Li berkata Malaysia sebagai pengeluar gas asli ketiga terbesar di rantau Asia Pasifik selepas Australia dan China, akan memainkan peranan penting dengan rizab gasnya yang kaya serta kapasiti pengeluaran LNG yang semakin meningkat.

"Pada masa sama, disebabkan oleh kedudukan geografinya yang berdekatan dengan China, India dan pasaran gas asli lain, industri gas Malaysia akan mempunyai potensi pembangunan yang lebih besar," katanya.

Malaysia juga merupakan pengeksport LNG kelima terbesar di dunia dengan eksport melebihi 28 juta tan, menyumbang tujuh peratus daripada perdagangan LNG global.

Pada 2024, Malaysia mengeksport 7.85 juta tan LNG ke China.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan