EKONOMI > BERITA

Grab Sumbang RM9.9 Bilion Kepada KDNK Malaysia Pada 2023 -- EconWorks

17/02/2025 07:22 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Perkhidmatan atas permintaan, Grab termasuk perkhidmatan e-panggilan dan penghantarannya menyumbang sebanyak RM9.9 bilion kepada ekonomi Malaysia pada 2023, menurut laporan baharu oleh firma perunding ekonomi tempatan, EconWorks.

Firma perunding itu berkata angka tersebut bersamaan kira-kira 0.5 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2023.

Ia berkata, sebanyak 88 peratus daripada sumbangan nilai tambah ini datang daripada pemandu Grab dan rakan niaga yang beroperasi dalam pelbagai perkhidmatan di bawah jenama berkenaan.

Pada 2023, katanya, rakan pemandu menyumbang sebanyak RM4.6 bilion dalam nilai tambah yang mewakili 0.25 peratus daripada KDNK Malaysia.

Syarikat itu berkata, ekosistem Grab menyokong sehingga 277,237 peluang pendapatan, menyediakan aliran pendapatan untuk rakan pemandu, rakan niaga dan pekerja-pekerja dalam rantaian bekalan menyeluruh mereka.

"Ini bermakna satu daripada 64 individu dalam tenaga kerja Malaysia mendapat manfaat secara langsung atau tidak langsung daripada aktiviti berkaitan Grab.

"Peluang pendapatan yang disediakan Grab menyumbang tambahan RM3.7 bilion kepada pendapatan isi rumah. Peningkatan pendapatan oleh rakan pemandu dan rakan niaga ini bermakna lebih banyak wang dalam poket rakyat Malaysia​," kata firma perunding itu satu dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan EconWorks Dr. Wan Khatina Nawawi berkata sepanjang 12 tahun beroperasi di Malaysia, Grab memberi sumbangan yang ketara serta manfaat ekonomi kepada pelbagai komuniti di seluruh Malaysia.

"Bagi setiap RM1 yang dijana melalui transaksi Grab, sebanyak RM1.50 aktiviti ekonomi tambahan dicipta merentasi ekonomi yang lebih luas.

"Ini menggariskan impak positif ekosistem Grab terhadap jutaan rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.

Menurut Wan Khatina, laporan ini menyerlahkan kelebihan persekitaran perniagaan Malaysia yang menyokong dan kini memberi tumpuan kepada ekonomi digital selain membolehkan syarikat platform seperti Grab berkembang maju selain menyumbang secara bermakna kepada ekonomi.

"Dengan mengukur sumbangan ini, kajian berkenaan memberikan pandangan menyeluruh tentang bagaimana Grab dan pihak berkepentingan berinteraksi dengan ekonomi Malaysia yang lebih luas dan mempermudahkan pertumbuhan ekonomi," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan