GEORGE TOWN, 18 Feb (Bernama) -- ASE Technology Holding Co Ltd dari Taiwan secara rasmi membuka kilang kelimanya di Pulau Pinang untuk pembungkusan dan ujian cip.
Penyedia terbesar dunia bagi perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar itu membangunkan kilang keempat dan kelimanya di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas dengan peruntukan sebanyak RM4.5 bilion.
Presiden Operasi Asia Tenggaranya Lee Kwai Mun berkata syarikat tersebut kini menggajikan lebih 3,000 pekerja di Malaysia serta merancang menggandakan jumlah berkenaan selepas kilang keempat dan kelimanya beroperasi sepenuhnya dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi.
"ASE mempunyai 18 kilang di seluruh dunia. Apabila memutuskan untuk membuka kilang pertamanya di luar Taiwan sekitar 34 tahun yang lalu, ia penting bagi memastikan keputusan itu tepat berikutan ASE berbeza pada waktu ini.
"Tiada ruang untuk kami melakukan kesilapan selain perlu melakukannya dengan betul pada kali pertama. Melihat apa yang kami miliki hari ini, pengasas syarikat sememangnya membuat keputusan yang tepat," katanya dalam ucapan pada majlis pembukaan kilang kelimanya di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Il, Jagdeep Singh Deo.
Lee berkata kilang baharu ini yang mampu memperkukuh keupayaan pembungkusan dan ujian cip syarikat akan memperluas ruang lantai kemudahan ASE di Malaysia daripada kawasan semasa iaitu daripada seluas 92,903.04 meter persegi kepada kira-kira 315,8703.336 meter persegi.
Beliau berkata tapak kilangnya di Malaysia juga berjaya menaik taraf operasi pembuatan syarikat dengan mengintegrasikan teknologi Industri 4.0 dan penyelesaian automasi kilang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ASE Inc. Dr. Tien Wu berkata kemudahan baharu ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh jejak global ASE.
"Asia Tenggara semakin menjadi pangkalan penting bagi semikonduktor berikutan ekonomi digitalnya berkembang pesat yang mendorong permintaan untuk cip termaju selain peralihannya ke arah reka bentuk serta pembuatan cip sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Dengan Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai hab semikonduktor serantau, kami melihat kemudahan yang diperluas ini memainkan peranan yang lebih besar dalam rantaian nilai semikonduktor global selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya.
Tien berkata ASE kekal komited untuk menjadi penggerak utama dalam pembangunan industri semikonduktor tempatan dan serantau sambil terus memenuhi selain melebihi keperluan serta jangkaan pelanggan mereka.
Menurut Tien, ASE juga kekal komited menjadi penggerak utama bagi pembangunan industri semikonduktor tempatan dan serantau.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi promosi dan pemudah cara pelaburan, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja berkata pengembangan berterusan ASE di Pulau Pinang menjadi bukti kepada kerjasama di antara Malaysia dengan Taiwan.
Katanya, untuk kekal berada di hadapan dalam bidang yang sentiasa berubah dan penuh persaingan ini, amat penting bagi perniagaan ini untuk terus berinovasi serta bekerjasama dengan pemain utama dalam industri.
"Saya menggalakkan syarikat tempatan untuk melihat peluang bekerjasama dengan peneraju seperti ASE.
"Kerjasama ini bukan sahaja akan memacu permintaan untuk kejuruteraan ketepatan, automasi dan pembuatan semikonduktor, tetapi ia juga akan membantu bakat tempatan kita," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial