EKONOMI > BERITA

Sasaran Pencapaian SDG Negara Diunjur 43 Peratus Pada 2030 - Hanifah Hajar

19/02/2025 12:10 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Sasaran pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara pada 2030 diunjurkan pada kadar 43 peratus berbanding purata global 17 peratus berdasarkan analisis terkini menggunakan data 2022, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib.

Menurutnya analisis seterusnya akan dilaksanakan pada 2026 menggunakan data 2025 yang menyaksikan secara umumnya, 12 daripada 17 SDG menunjukkan trend positif.

“Antara SDG yang menunjukkan pencapaian lebih baik adalah SDG 1: Tiada Kemiskinan, dengan penurunan insiden kemiskinan mutlak pada kadar 6.2 peratus; SDG 5: Kesaksamaan Gender, dengan penguakuasaan Akta Anti-Gangguan Seksual 2022, dan pengoperasian Tribunal Anti-Gangguan Seksual mulai Mac 2024,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata selain itu SDG 7: Tenaga Mampu Milik dan Bersih, dengan prestasi yang memberangsangkan berhubung akses kepada tenaga elektrik sebanyak 99.7 peratus dan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) pada tahap tertinggi 19.7 peratus.

“Ini disumbangkan oleh usaha-usaha seperti keluaran TBB hidro dan pembinaan ladang solar terapung terbesar oleh Sarawak,” kata Hanifah Hajar. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) berkenaan pencapaian Malaysia dalam setiap satu daripada 17 aspek Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) SDG serta cabaran untuk merealisasikan semua matlamat berkenaan.

Hanifah Hajar berkata antara cabaran utama dalam mencapai sasaran SDG adalah aspek tadbir urus, dengan kadar kebergantungan yang tinggi kepada kerajaan dalam perancangan dan pelaksanaan. 

"Oleh itu, kerjasama semua pihak berkepentingan perlu dipertingkat dan diselaras bagi membantu mengurangkan pertindihan dan mengoptimumkan penggunaan sumber. 

"Selain itu, aspek kapasiti iaitu pembiayaan yang terhad, kemajuan teknologi termasuk tahap kesedaran dan amalan SDG yang berbeza," katanya.

Menurutnya cabaran lain turut melibatkan aspek luar jangka dan luar kawalan seperti perubahan iklim dan ancaman geopolitik serta aspek infrastruktur yang memerlukan peruntukan tinggi dalam peralihan kepada penggunaan TBB.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan