KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada 2024 mencerminkan pengembangan ekonomi, peningkatan hasil dan pertambahan peluang pekerjaan kepada rakyat, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata peningkatan KDNK bukan sekadar angka, tetapi membawa limpahan langsung kepada rakyat meliputi kenaikan gaji, peluang pekerjaan berkualiti, bantuan dan perlindungan sosial yang lebih baik serta pertumbuhan sektor perniagaan dan perdagangan.
“Alhamdulillah, kita berjaya mencatat pertumbuhan KDNK benar 2024 pada 5.1 peratus dengan KDNK suku kedua merupakan tahap pertumbuhan tertinggi iaitu pada 5.9 peratus.
“Pada masa yang sama, pertumbuhan KDNK nominal untuk tahun 2024 adalah 5.9 peratus,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Amir Hamzah berkata pada suku pertama 2024 negara mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.2 peratus diikuti suku kedua pada 5.9 peratus, suku ketiga 5.4 peratus dan suku keempat 5.0 peratus.
Pada 2024 sekitar 127,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor swasta telah berjaya diwujudkan dengan kadar pengangguran berada pada paras rendah iaitu 3.2 peratus.
Penggunaan swasta terus menjadi penyumbang utama KDNK iaitu sebanyak 60.7 peratus didorong peningkatan permintaan barangan keperluan dan perkhidmatan manakala pelaburan mencatatkan pertumbuhan 12 peratus berbanding 5.5 peratus pada 2023, yang tertinggi sejak 2012.
Beliau berkata peningkatan pelaburan swasta terutamanya dalam sektor teknologi tinggi seperti semikonduktor, digital dan tenaga boleh baharu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia seterusnya menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat.
"Pertumbuhan KDNK bermakna hasil kerajaan bertambah, dan limpahan hasil ini membolehkan agihan lebih besar kepada rakyat," katanya.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata dengan pengukuhan indikator ekonomi momentum pertumbuhan KDNK negara diyakini berterusan dan akan memacu pertumbuhan tahun 2025 sepertimana diunjurkan, meskipun dalam persekitaran global yang mencabar.
Menurutnya, sebagai ekonomi terbuka, Malaysia terlibat secara langsung dalam rantaian bekalan global dan mengambil pendekatan neutral apabila berurusan dengan negara luar termasuk Amerika Syarikat (AS) dan China yang merupakan antara rakan dagang utama negara.
Dagangan dengan AS dan China masing-masing membentuk 11.3 peratus dan 16.8 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia pada 2024, katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, komitmen pelaburan langsung asing (FDI) juga menunjukkan momentum menggalakkan dari pelbagai sektor dan negara, misalnya pusat data seperti Nvidia dan AWS dari AS, syarikat elektronik Infineon dari Jerman dan NXP dari Belanda serta pelaburan automotif dari China.
“Kemasukan FDI tersebut menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembinaan pada 2024 sebanyak 17.5 peratus berbanding 6.1 peratus pada 2023,” katanya.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata meskipun Kerajaan Madani bertekad mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat, kerajaan terus menyediakan Belanjawan 2025 yang mengembang dan yang tertinggi pernah diumumkan.
Menurutnya, usaha mengurangkan defisit fiskal negara bukanlah bersifat memenuhi tuntutan segelintir pihak, sebaliknya langkah itu bermatlamat memastikan pengurusan kewangan negara yang lebih mampan dan berdaya tahan bagi tempoh jangka panjang.
"Langkah-langkah pembaharuan fiskal yang diperkenalkan dapat menstruktur semula perbelanjaan dengan lebih bersasar, mengurangkan ketirisan, yang memberi manfaat lebih menyeluruh untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.
Mengenai caruman KWSP bagi pekerja asing di Malaysia, beliau berkata kerajaan telah menetapkan kadar dua peratus bagi caruman dan juga syer pekerja sehingga kajian selanjutnya pada masa hadapan dengan mengambil kira kesesuaian semasa.
Menyentuh tentang premium insurans/takaful perubatan dan kesihatan, beliau berkata, Bank Negara Malaysia dan semua pihak berkepentingan sedang berkerjasama mencari penyelesaian jangka panjang bagi mengawal inflasi kos perubatan dengan berkesan.
Ini termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan, hospital swasta, penanggung insurans dan pengendali takaful, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial