Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Harga kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mendatar dengan sedikit penurunan susulan aktiviti pengambilan untung minggu depan, kata peniaga.
Peniaga minyak sawit David Ng memberitahu Bernama harga mungkin berada dalam julat antara RM4,500 satu tan sehingga RM4,800 satu tan minggu depan.
Sementara itu, Peniaga Minyak Sawit Kanan Interband Group of Companies Jim Teh berkata pihaknya menjangkakan pasaran bergerak antara RM4,000 satu tan hingga RM4,300 satu tan minggu depan.
Beliau berkata spekulator mungkin mempengaruhi harga, menyebabkan lonjakan dalam kontrak niaga hadapan MSM.
“Akibatnya, India telah membatalkan pembelian MSM dan produk berkaitan dari Malaysia, dengan harga yang tinggi sebagai sebab utama.
“Pergerakan harga ini sebahagian besarnya didorong oleh dagangan spekulatif,” katanya.
Minggu ini, pasaran MSM didagangkan kebanyakannya tinggi, disokong oleh harga olein sawit Dalian yang lebih kukuh, prestasi minyak soya yang lebih utuh dan kenaikan harga minyak mentah.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat, bulan kontrak yang baru disenaraikan Mac 2025 naik RM136 kepada RM4,836 satu tan, April 2025 meningkat RM170 kepada RM4,762 satu tan dan Mei 2025 menambah RM165 kepada RM4,664 satu tan.
Jun 2025 naik RM144 kepada RM4,548 satu tan, Julai 2025 menokok RM120 kepada RM4,441 satu tan manakala Ogos 2025 pada RM4,367 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 435,333 lot daripada 430,283 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka naik kepada 243,818 kontrak daripada 230,867 kontrak.
Harga MSM fizikal bagi Mac Selatan meningkat RM100 kepada RM4,900 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial