KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- HI Mobility Bhd memeterai perjanjian taja jamin runcit dengan Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) bagi menjayakan urusan tawaran awam permulaan (IPO) untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.
Maybank IB menjadi penasihat utama, ejen penempatan tunggal dan penjamin tunggal untuk HI Mobility.
Aktiviti utama Hi Mobility iaitu pegangan pelaburan manakala anak syarikat milik penuhnya, Handal Indah terlibat secara khusus dalam penyediaan perkhidmatan pengangkutan bas.
Menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini, Handal Indah beroperasi dalam sektor pengangkutan awam selain terlibat secara khusus dalam menyediakan perkhidmatan bas rentas sempadan dan tempatan.
Katanya, syarikat tersebut memulakan operasi pada 2002 yang sewaktu awalnya hanya menawarkan perkhidmatan bas dalam bandar di Johor Bahru, Johor.
"Pada tahun berikutnya, Handal Indah mengembangkan operasi dengan memperkenalkan perkhidmatan bas merentas sempadan Johor Bahru-Singapura yang beroperasi di bawah nama ‘Causeway Link’.
"Tahun berikutnya, perkhidmatan syarikat berkenaan berkembang meliputi Lembah Klang dan Melaka. Mengutamakan penyelesaian pengangkutan mampan, kumpulan ini memperkenalkan bas elektrik sejak 2023 bagi mempromosikan perjalanan mesra alam," katanya.
IPO HI Mobility melibatkan terbitan awam sebanyak 95 juta saham baharu mewakili 19 peratus daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesarkan.
Sebanyak 10 juta saham terbitan akan ditawarkan untuk permohonan orang awam Malaysia manakala lima juta saham terbitan lagi akan ditawarkan untuk permohonan daripada pekerja yang layak dalam kumpulan tersebut.
HI Mobility juga berkata sebanyak 47.5 juta saham terbitan akan ditawarkan untuk permohonan melalui penempatan persendirian kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Katanya, sebanyak 32.5 juta saham terbitan pula akan ditawarkan untuk permohonan melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan pelabur terpilih.
Selain terbitan 95 juta saham terbitan, IPO ini juga meliputi tawaran penjualan 35 juta saham sedia ada bersamaan dengan tujuh peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan serta akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan pelabur terpilih.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HI Mobility Lim Chern Chuen berkata pihaknya berusaha mengembangkan kumpulan selain memulakan pergerakan lestari menerusi bas elektrik.
Katanya, secara berperingkat, bas elektrik dijangka mengubah kumpulan ini kepada pemain industri yang cekap tenaga dalam sektor pengangkutan awam di negara ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial