SEPANG, 24 Feb (Bernama) -- Kerjasama Menzies Aviation dan MMAG Sky Services Sdn Bhd bersedia menerapkan kepakaran antarabangsa dalam sektor penerbangan Malaysia, dengan sasaran untuk mengembangkan perniagaan mereka dan meningkatkan kualiti perkhidmatan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Menzies Aviation menerima Lesen Pengendalian Darat yang diperlukan daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berkuat kuasa 1 Nov 2024 yang membolehkan syarikat itu untuk memulakan operasi di Malaysia.
“Menzies adalah syarikat yang telah sekian lama beroperasi, dan kami berharap mereka dapat menerapkan elemen antarabangsa dalam sektor penerbangan kita.
“Kita turut menantikan pertumbuhan perniagaan mereka di sini dan perkhidmatan ditambah baik yang akan mereka bawakan,” kata Loke ketika berucap pada pelancaran Menzies Aviation Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata pada masa ini Menzies bekerjasama dengan MMAG Sky Services sebagai penyedia perkhidmatan bahagian daratnya, dengan tumpuan utama kepada segmen kargo.
Ditubuhkan pada 1833, Menzies Aviation telah berkembang sebagai penyedia perkhidmatan bahagian darat yang terkemuka di seluruh dunia, beroperasi melibatkan lebih 265 lapangan terbang di 55 negara dan menyediakan perkhidmatan kepada lebih 500 pelanggan di seluruh dunia.
Loke yakin bahawa kerjasama ini akan membuka peluang kepada kemajuan yang lebih besar dalam sektor penerbangan Malaysia dan mendorong negara supaya lebih dekat sebagai pemain utama dalam landskap penerbangan serantau dan global.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Menzies Aviation bagi Oceania dan Asia Tenggara Darren Masters berkata syarikat itu teruja dengan peluang sektor penerbangan Malaysia yang telah beroperasi pada tahap yang tinggi.
“Berdasarkan pengalaman kami di sini setakat ini, industri penerbangan ini telah berada pada standard tinggi dan mempunyai asas kukuh. Kami berhasrat menguatkan asas itu dan melaksanakan penambahbaikan yang selanjutnya,” katanya.
Masters berkata matlamat Menzies Aviation adalah untuk membantu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) muncul antara lapangan terbang terbaik di dunia.
Mengenai aspek yang perlu ditambah baik, katanya terdapat keperluan untuk menaik taraf kelengkapan lapangan terbang.
“Standard kelengkapan tersedia di lapangan terbang pada masa ini mungkin tidak berada pada tahap sewajarnya. Kami akan menilai bagaimana kami boleh membantu dalam aspek ini. Kami akan melabur dari segi kelengkapan baharu untuk KLIA, dan diharap langkah ini akan memberi lebih konsisten di seluruh rangkaian.
“Apabila menyentuh mengenai pengembangan, Malaysia menonjol sebagai antara negara Tier 1 berikutan infrastruktur yang baik, kebolehan berbahasa, tenaga kerja mahir dan sikap positif rakyatnya,” katanya.
Mengulas kebimbangan berkenaan lesen operasi Menzies Aviation untuk tempoh 12 bulan, Masters yakin bahawa syarikat itu akan menerima tempoh lanjutan terhadap lesen itu.
“Sekiranya kami mempunyai prestasi baik, saya yakin (lesen) itu akan diperbaharui. Ini bergantung kepada kami untuk meyakinkan pihak berkuasa bahawa kami layak. Jika tidak, kami tidak lagi layak untuk mendapatkan lesen,” katanya.
Pada Ogos tahun lepas, Menzies Aviation mengumumkan penubuhan Menzies Aviation (Malaysia) Sdn Bhd, usaha sama dengan MMAG Sky Services, anak syarikat milik penuh MMAG Aviation Consortium Sdn Bhd, iaitu cabang penerbangan MMAG Holdings Bhd.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial