EKONOMI > BERITA

Bursa Malaysia Derivatives Cecah Paras Tertinggi 22.75 Juta Kontrak - Wahid Omar

25/02/2025 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia Derivatives mencatat paras tertinggi dengan 22.75 juta kontrak didagangkan bagi semua produk pada 2024, peningkatan sebanyak 19 peratus daripada 19.11 juta kontrak pada 2022.

Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) Bursa Malaysia juga terbukti kekal penting mengurus ketidaktentuan pasaran dalam senario turun naik harga MSM.

“Selama lebih 40 tahun, ia berperanan sebagai penanda aras rujukan global untuk harga MSM dan alat pengurusan risiko pilihan dalam kalangan peniaga minyak makan di seluruh dunia," katanya ketika berucap di Persidangan dan Pameran (POC2025) Tinjauan Harga Sawit dan Laurik ke-36 (POC2025) hari ini.

Abdul Wahid berkata dagangan FCPO meningkat sebanyak 17 peratus kepada 18.95 juta kontrak dalam 2024 daripada from daripada 16.21 juta pada 2023 manakala purata kontrak harian bulanan buat pertama kalinya melepasi paras 100,000 dengan 106,385 kontrak pada Oktober 2024.

Data tahun penuh 2024 Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan pengeluaran MSM meningkat lebih empat peratus kepada 19.3 juta tan; purata harga MSM bertambah 9.7 peratus kepada RM4,179.50 satu tan dan eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit lain meningkat 8.9 peratus berbanding 2023 dengan mencecah hampir 27 juta tan pada 2024.

Sehubungan itu, Abdul Wahid menyifatkan industri minyak sawit Malaysia berpotensi untuk terus berkembang, disokong oleh keadaan tenaga kerja yang semakin baik dan permintaan eksport yang kukuh. 

“Sektor pertanian terutamanya diunjurkan berkembang 1.9 peratus, didorong oleh mandat biodiesel di pelbagai negara, peningkatan permintaan global untuk minyak makan, unjuran harga minyak sawit dan keadaan tenaga kerja yang lebih baik," katanya.

Namun, Abdul Wahid mengingatkan peningkatan persaingan sengit daripada minyak sayuran alternatif, permintaan berkurangan daripada pengimport utama seperti China dan India selain corak aliran iklim sukar dijangka yang terus menjejaskan dinamik perdagangan.

“Atas alasan ini, adalah penting bagi peserta pasaran untuk kekal berwaspada,” katanya.

Pada 2024, Bursa Malaysia Derivatives memperluas tawarannya dengan menawarkan dua kontrak baharu -  Kontrak Niaga Hadapan Minyak Kacang Soya Bursa Malaysia DCE (FSOY) dan Kontrak Niaga Hadapan Minyak Masak Terpakai USD FOB Straits (Platts) (FUCO).

Abdul Wahid berkata kontrak FSOY yang diperkenalkan pada Mac 2024, turut meraih tarikan menggalakkan dalam kalangan peniaga kepentingan terbuka mencecah 274 pada Ogos manakala jumlah dagangan mencecah 79,559 kontrak menjelang akhir Disember 2024.

Beliau juga menyifatkan kontrak FUCO yang dilancarkan pada Disember 2024 sebagai bertepatan pada masanya berikutan jangkaan permintaan minyak masak terpakai terus meningkat, didorong oleh peningkatan mandat biodiesel di seluruh dunia.

“Kontrak FUCO lebih daripada sekadar instrumen perdagangan dan sejajar dengan matlamat lebih luas untuk memajukan kemampanan dalam pasaran fizikal. Ini seiring dengan Matlamat Ketujuh Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai tenaga bersih dan mampu milik.

“Ia juga mengukuhkan hasrat Bursa Malaysia untuk mencipta nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan selain menyumbang kepada kemampanan pembangunan Malaysia," katanya.

Abdul Wahid turut memberi jaminan bahawa Bursa Malaysia itu akan terus mengukuhkan tawaran derivatif sebagai instrumen lindung nilai dan arbitraj boleh dipercayai yang dapat membantu pemain industri mengemudi cabaran dengan lebih yakin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan