KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyasar pertumbuhan pelaburan diluluskan negara sebanyak lima peratus bagi tahun ini, mengatasi RM378.5 bilion pada 2024, yang tertinggi pernah direkodkan.
Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata sasaran itu ditetapkan sejajar dengan jangkaan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia tahun ini pada 4.7 peratus.
“Sasaran itu ditetapkan selepas MITI mengambil kira situasi geopolitik dan perdagangan yang mengganggu rantaian bekalan dan menilai semula perkongsian global serta kemajuan teknologi seperti automasi, kecerdasan buatan (AI), dan Internet Pelbagai Benda (IoT) yang membentuk semula industri,” katanya.
Tengku Zafrul berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan prestasi pelaburan negara dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama.
Beliau juga berkata peningkatan pelaksanaan dasar dan subsidi yang dipacu kerajaan ketika negara-negara membangun bersaing untuk menarik pelaburan dan membina industri utama dan dorongan global bagi kemampanan telah mempengaruhi landskap ekonomi dan perniagaan.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial