EKONOMI > BERITA

Kerajaan Tawar Pelbagai Insentif Untuk Tarik Pelaburan Dalam Industri Nadir Bumi - MITI

26/02/2025 09:13 AM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Kerajaan komited membangunkan ekosistem industri nadir bumi (REE) merangkumi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran dengan menawarkan pelbagai insentif serta sokongan strategik bagi menarik lebih banyak pelaburan tempatan dan asing.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Selasa memaklumkan bahawa sebuah Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Industri REE Peringkat Pertengahan dan Hiliran telah ditubuhkan bagi mengenal pasti peluang pelaburan serta keperluan insentif khas untuk sektor berkenaan.

Ketika ini, syarikat tempatan dan asing boleh menikmati insentif umum di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986 merangkumi Taraf Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan dengan pengecualian cukai separa atau sepenuhnya selama lima hingga 10 tahun bagi aktiviti pembuatan yang menggunakan REE telah diproses.

“Selain itu, projek bersepadu melibatkan pelaburan tinggi serta memberi manfaat besar kepada ekonomi negara boleh dipertimbangkan untuk menerima insentif cukai khas dengan kadar lebih tinggi dan tempoh lebih panjang berbanding insentif biasa,” kata MITI bagi menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa).

Ahmad Marzuk ingin tahu insentif atau sokongan yang perlu diberikan kepada pelabur tempatan dan asing bagi merangsang penglibatan mereka dalam pembangunan industri REE terutamanya di peringkat pertengahan dan hiliran.

MITI berkata kerajaan turut mengumumkan pelaksanaan Kerangka Insentif Baharu dalam Belanjawan 2025 yang memperkenalkan pendekatan ‘Tiering Approach’ dan Insentif ‘Outcome-Based’.

“Pendekatan ini membolehkan syarikat menikmati insentif lebih fleksibel, tidak hanya terhad kepada produk tertentu sekali gus meningkatkan daya saing sektor pembuatan serta menarik pelaburan dalam teknologi canggih dan inovasi baharu dalam industri REE.

“Bagi menyokong pertumbuhan industri ini, kerajaan telah melaksanakan moratorium pengeksportan bahan mentah REE berkuat kuasa 1 Januari, 2024 bagi memastikan sumber REE tempatan digunakan sepenuhnya dalam pengeluaran produk bernilai tambah tinggi di peringkat pertengahan dan hiliran,” katanya.

Menurut MITI, sebagai contoh, penghasilan supermagnet berasaskan REE tempatan akan menjadi pemacu utama untuk industri berteknologi tinggi seperti elektrik dan elektronik, kenderaan elektrik, aeroangkasa, peranti perubatan serta tenaga boleh baharu.

“Selain insentif fiskal, kerajaan turut memperkukuh kerjasama strategik dengan pelabur utama dalam industri REE. Ini dijangka menarik lebih banyak pelabur baharu dalam peringkat hiliran untuk menghasilkan supermagnet di Malaysia.

“Langkah ini bukan sahaja mewujudkan peluang pelaburan, tetapi juga memacu pemindahan teknologi dan pembangunan tenaga kerja tempatan dalam bidang berkaitan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan