BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 EKONOMI > BERITA

Kajian Pertimbang Kebolehlaksanaan Pelaporan Terperinci Insurans Perubatan Akan Dilaksana

26/02/2025 01:43 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Kajian lebih mendalam akan dijalankan bagi mempertimbangkan kebolehlaksanaan pelaporan terperinci keuntungan dan kerugian setiap polisi insurans perubatan, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata pada masa ini, penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) tidak diwajibkan untuk menyenaraikan secara terperinci keuntungan dan kerugian setiap polisi insurans perubatan.

Bagaimanapun katanya, setiap ITO dikehendaki untuk mengisytiharkan keuntungan dan kerugian mereka dalam penyata kewangan tahunan mereka selaras dengan  Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS)  17.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Teresa Kok Suh Kim (PH-Seputeh) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan mengarahkan syarikat insurans untuk menyenaraikan secara terperinci keuntungan dan kerugian setiap polisi insurans perubatan bagi memastikan ketelusan dalam menentukan kenaikan premium yang munasabah.

Mengulas lanjut, Lim berkata ITO dikehendaki memastikan sebarang amalan dalaman untuk mentadbir urus peningkatan premium produk insurans, takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) mengambil kira keseimbangan antara kemampuan pemegang polisi dan kemampanan produk MHIT.

“Sebagai contoh, ITO perlu memantau pengalaman kos tuntutan produk MHIT secara objektif, dan hanya boleh menetap semula premium apabila kos tuntutan sebenar merosot secara berterusan dan melebihi nilai ambang yang ditentukan lebih awal dalam amalan dalaman ITO.

“ITO juga dilarang untuk menetapkan semula premium semata-mata untuk meningkatkan keuntungan ITO,” katanya.

Menurut beliau, Bank Negara Malaysia telah mempertingkat standard amalan perniagaan MHIT termasuk usaha untuk meningkatkan kesedaran pengguna melalui penambahbaikan lembaran penzahiran produk (PDS) yang lebih ringkas dan mudah difahami.

“Penambahbaikan ini bertujuan menggalakkan pemegang polisi lebih memahami terma dan syarat produk MHIT serta membuat keputusan yang lebih termaklum.

“PDS juga akan menyatakan nisbah tuntutan pada peringkat industri untuk meningkatkan kesedaran kepada pengguna bahawa sebahagian besar premium adalah diperuntukkan untuk membayar tuntutan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan