BERITA TERGEMPAR | Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | |
KUCHING, 26 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (Mintred) sedang giat memperhalusi dan menambah baik polisi pelaburan di negeri itu, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan negeri berkata proses memperhalusi polisi ini dijangka selesai tahun ini dan akan dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan.
Beliau berkata antara aspek utama yang ingin diberikan perhatian adalah mengenal pasti sektor strategik yang perlu diperkukuhkan terutama dari segi teknologi dan dasar pelaburan.
“Kita ingin memastikan setiap pelaburan yang dilaksanakan di Sarawak bukan hanya mengutamakan teknologi canggih, malah selaras dengan matlamat kita untuk menjaga kesejahteraan alam sekitar.
“Pelaburan ini juga harus memberi manfaat langsung kepada masyarakat Sarawak, memperkasakan pembangunan ekonomi melalui penyertaan pelaburan dari dalam mahupun luar negara,” katanya selepas majlis amanat kementerian itu di sini hari ini.
Awang Tengah berkata Polisi Keusahawanan Sarawak juga akan turut diperhalusi bagi memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana selaku tulang belakang ekonomi negeri.
“Ini adalah sektor yang menawarkan peluang pekerjaan yang amat besar dan kita perlu memperkukuhkannya dengan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai sektor. Fokus utama adalah untuk memperbaiki ekosistem secara menyeluruh.
“Dunia kini telah berubah dan usahawan perlu menyesuaikan diri dengan perubahan ini.
“Mereka perlu mengadaptasi operasi mereka serta memanfaatkan infrastruktur digital untuk memudahkan pemasaran produk dan perkhidmatan mereka, sekali gus membuka peluang untuk dipromosikan ke pasaran lebih luas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial