EKONOMI > BERITA

Timor-Leste Yakin Dengan Perkembangan Keanggotaan Dalam ASEAN, Hargai Sokongan Malaysia

01/03/2025 03:24 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KOTA TINGGI, 1 Mac (Bernama) -- Timor-Leste yakin ia telah menunjukkan kemajuan yang ketara dan berada di landasan yang betul untuk memenuhi pelan hala tuju yang digariskan bagi memperoleh keanggotaan penuhnya dalam ASEAN.

Menurut portal hal ehwal semasa Asia-Pasifik, The Diplomat, pelan hala tuju itu menggariskan beberapa kriteria yang perlu dipenuhi oleh Timor-Leste, termasuk menyediakan skim kewangan bagi memenuhi semua kewajipan kewangan, memastikan infrastruktur fizikal dan kesiapsiagaan logistik yang diperlukan untuk menjadi tuan rumah mesyuarat ASEAN, serta kemudahan delegasi semasa giliran sebagai pengerusi.

Selain itu, Timor-Leste perlu melantik agensi-agensi pelaksana peringkat nasional, pusat aktiviti, dan perwakilan untuk mesyuarat sektor ASEAN dan kumpulan kerja, termasuk memastikan ketersediaan kakitangan yang boleh berbahasa Inggeris yang mencukupi di semua kementerian dan agensi-agensi berkaitan.

Menteri Perdagangan dan Industri Timor-Leste Filipus Nino Pereira dalam hal itu mengesahkan komitmen negara berkenaan untuk memenuhi semua syarat dalam hala tuju berkenaan.

"Saya boleh mengesahkan bahawa kami telah membuat kemajuan yang ketara dan berada di landasan yang betul bagi memenuhi pelan hala tuju itu.

"Kami juga mengambil bahagian secara aktif dalam mesyuarat-mesyuarat ASEAN, dan akan terus bekerjasama rapat dengan negara-negara anggota ASEAN serta Sekretariat ASEAN bagi memastikan peralihan yang lancar dan tepat pada masanya untuk keanggotaan penuh," katanya kepada Bernama di luar Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) Ke-31 di Desaru pada Jumaat.

Baru-baru ini, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Timor-Leste dijangka menyertai ASEAN sebagai anggota penuh pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur Oktober ini, manakala Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam ucapan alu-aluannya semalam berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, menyokong sepenuhnya penyertaan Timor-Leste dalam blok berkenaan.

"Timor-Leste menghargai sokongan padu Malaysia untuk keanggotaan penuh kami dalam ASEAN tahun ini," kata Pereira.

Mengenai sumbangan Malaysia sebanyak US$200,000 (US$1 = RM4.453) kepada Unit Timor-Leste untuk membantu dan memudahkan proses pelaksanaan Pelan Hala Tuju Keanggotaan Penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN, Pereira berkata sumbangan yang disifatkan bermurah hati itu akan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kapasiti institusi Timor-Leste dan kesiapsiagaannya untuk integrasi penuh dalam ASEAN.

"Sumbangan dari Malaysia ini akan membolehkan penubuhan dan pelaksanaan Unit Khusus untuk Timor-Leste di dalam Sekretariat ASEAN.

"Ini akan membantu memenuhi pelan hala tuju untuk keanggotaan penuh kami dan menggerakkan sokongan teknikal serta sumber bagi pembinaan kapasiti dan bantuan tambahan yang diperlukan oleh Timor-Leste untuk integrasi kami ke dalam ASEAN," katanya.

Mengulas tentang peluang pertama negara itu untuk mengambil bahagian secara langsung dalam perbincangan AEM Ke-31, sedangkan sebelum ini ia hanya dijemput untuk menyampaikan ucapan, Pereira berkata Timor-Leste sangat menghargai modus baharu penyertaannya dalam mesyuarat ASEAN, yang menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam proses integrasinya.

"Penyertaan secara langsung dalam perbincangan agenda membolehkan kami melibatkan diri secara lebih substantif, berkongsi pandangan dan perspektif kami mengenai perkara yang dibincangkan dan oleh itu, menyumbang secara bermakna terhadap kerjasama ekonomi serantau," katanya.

Beliau menambah bahawa penyertaan Timor-Leste menunjukkan keyakinan negara-negara anggota ASEAN terhadap kesiapsiagaan dan komitmen negara itu untuk memenuhi kewajipan masa depannya sebagai anggota penuh.

Permukiman AEM Ke-31, yang dipengerusikan oleh Tengku Zafrul, diadakan di Desaru hari ini, dengan mesyuarat-mesyuarat berkaitan berlangsung dari 22 hingga 27 Feb.

Permukiman ini adalah bersempena Kepengerusian ASEAN - Malaysia 2025, yang bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan", untuk mencerminkan aspirasi Malaysia ke arah mewujudkan komuniti ASEAN yang lebih terangkum dan mampan.

Antara agenda utama untuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 adalah bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN serta menerajui usaha untuk meneroka dan mengembangkan kerjasama dan perkongsian ekonomi di luar rantau ASEAN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan