EKONOMI > BERITA

Forum Antarabangsa Astana 2025 Tumpu Dialog Kritikal Mengenai Isu Global Dan Keutamaan

03/03/2025 10:30 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Bagi menggiatkan semula kerjasama global, Kazakhstan akan menganjurkan Forum Antarabangsa Astana 2025 (AIF2025) dari 29 hingga 30 Mei, yang menghimpunkan pemimpin dan pakar bagi menangani cabaran global serta memperkukuh multilateralisme dan diplomasi.

Bertemakan "Menghubungkan Pemikiran, Membentuk Masa Depan," forum yang berlangsung di ibu negara Kazakhstan itu akan menghimpunkan pemimpin kerajaan, eksekutif perniagaan dan ahli akademik untuk meneroka penyelesaian praktikal terhadap cabaran dunia dalam suasana ketidaktentuan dan polarisasi global.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Kementerian Luar Kazakhstan menyatakan bahawa kedudukan strategik negara itu serta penglibatan antarabangsanya yang semakin meningkat menjadikannya pemudah cara utama dalam kerjasama rentas sempadan di tengah-tengah ketegangan geopolitik.

"Sebagai penghubung sejarah antara Timur dan Barat, Kazakhstan sekian lama memperjuangkan sistem antarabangsa yang inklusif dan kekal komited terhadap matlamat ini.

Forum Antarabangsa Astana adalah bukti komitmen itu. Berasaskan kejayaan forum pada 2023 yang menarik lebih 5,000 peserta antarabangsa, edisi tahun ini akan membincangkan isu-isu kritikal yang membentuk sistem antarabangsa serta trend baharu yang mempengaruhi sektor utama," menurut kenyataan itu.

Forum itu akan memberi tumpuan kepada tiga tema utama - Dasar Luar dan Keselamatan Antarabangsa, Tenaga dan Perubahan Iklim, serta Ekonomi dan Kewangan - serta menampilkan sesi perbincangan peringkat tinggi bersama ketua negara dan pemimpin industri, selain panel diskusi dengan pakar serta penggubal dasar terkemuka.

"Selaras dengan komitmen forum untuk membina perkongsian baharu dan memudah cara kerjasama, setiap sesi akan menyasarkan untuk menghasilkan perspektif segar mengenai isu diplomatik, ekonomi dan sosial yang akan menentukan dekad akan datang," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan