KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Cukai perkhidmatan hanya dikenakan sekiranya perkhidmatan kesihatan bersekutu disediakan di luar premis yang telah diluluskan pengecualian cukai, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Katanya di bawah perundangan semasa, pengecualian cukai perkhidmatan diberikan jika perkhidmatan kesihatan bersekutu tersebut disediakan di klinik atau hospital kerajaan, klinik atau hospital swasta dan hospital universiti.
“Kenaan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan kesihatan bersekutu bukan merupakan perkara baharu.
“Perkhidmatan ini telah dikenakan cukai semasa era cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 1.0 lagi serta cukai barang dan perkhidmatan (GST) mulai 1 April 2015.
“Dasar yang sama diteruskan apabila SST 2.0 dilaksanakan mulai 1 Sept 2018,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen hari ini.
Ia menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi pengecualian kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan bersekutu (perubatan pelengkap dan alternatif) daripada SST.
Bagaimanapun, katanya kerajaan akan sentiasa mengkaji dan meneliti keperluan ini pada masa depan.
“Penelitian ini perlu mengambil kira pelbagai aspek terutamanya bagi memastikan sebarang pengecualian cukai dapat memberi manfaat yang sewajarnya kepada pengguna perkhidmatan khususnya dari segi kos kepada pengguna dan keselamatan premis perkhidmatan,” katanya.
Menurut MOF, perkhidmatan kesihatan bersekutu dikawal selia oleh Kementerian Kesihatan melalui penguatkuasaan Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 [Akta 774].
Senarai profesion kesihatan bersekutu yang diiktiraf oleh kerajaan adalah seperti di Jadual Kedua Akta 774, antaranya ahli dietetik, ahli fisioterapi, ahli terapi cara kerja dan ahli terapi pertuturan bahasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial