EKONOMI > BERITA

Institusi Tempatan Sokong Bursa Malaysia Bagi Minggu Ke-20 Berturut-turut - MIDF Amanah

10/03/2025 10:49 AM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Institusi tempatan terus menyokong Bursa Malaysia untuk minggu ke-20 berturut-turut dengan aliran masuk ke dalam ekuiti domestik bernilai RM617.3 juta minggu lepas berbanding RM817.4 juta minggu sebelumnya.

Menerusi Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 7 Mac, 2025, MIDF Amanah Investment Bank Bhd menjelaskan pelabur runcit tempatan meneruskan belian bersih untuk minggu keempat berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih RM264.2 juta, turun sedikit daripada RM447.9 juta minggu sebelumnya.

“Jumlah dagangan harian purata (ADTV) susut secara menyeluruh kecuali bagi institusi tempatan,” tambahnya.

Pelabur asing dan pelabur runcit tempatan mengalami penurunan masing-masing sebanyak 35.6 peratus dan 3.0 peratus, manakala institusi tempatan meningkat 1.2 peratus.

Menurut MIDF Amanah pelabur asing meneruskan jualan bersih di Bursa Malaysia untuk minggu ke-20 berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih RM881.5 juta berbanding RM1.27 bilion pada minggu sebelumnya.

“Tekanan jualan ke atas pelabur asing berterusan sepanjang minggu, dengan aliran keluar paling banyak iaitu RM646.2 juta berlaku pada Jumaat,” jelasnya.

Bank pelaburan itu juga memaklumkan pelabur asing ialah penjual bersih pada setiap hari dagangan, dengan aliran keluar paling banyak berjumlah RM310.0 juta pada Jumaat, manakala pada hari lain, aliran keluar antara RM68.1 juta hingga RM189.4 juta,” tambahnya.

MIDF Amanah menjelaskan tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran masuk asing bersih adalah teknologi (RM40.0 juta), telekomunikasi dan media (RM26.2 juta) serta perladangan (RM10.1 juta).

Sementara itu, tiga sektor teratas yang merekodkan aliran keluar asing bersih tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM407 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM215.1 juta) dan utiliti (RM167.1 juta).

Merentas ekuiti Asia, pelabur asing terus menjual bersih bagi minggu kedua berturut-turut, dengan jumlah aliran keluar bersih US$8.17 bilion minggu lepas.

Satu-satunya negara yang mencatatkan aliran masuk asing bersih ialah Filipina, manakala pasaran serantau lain terus mengalami aliran keluar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan