EKONOMI > BERITA

SumiSaujana Sasar Kumpul RM74.4 Juta Daripada IPO

13/03/2025 04:40 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Pengeluar bahan kimia khusus minyak dan gas (O&G) yang bakal disenaraikan di Pasaran  ACE, SumiSaujana Group Bhd mahu mengumpulkan RM74.4 juta daripada tawaran awam permulaannya (IPO).

IPO syarikat merangkumi penerbitan 310.0 juta saham baharu pada harga terbitan 24 sen sesaham.

Daripada jumlah hasil, 54 peratus (RM40.2 juta) akan digunakan untuk membangunkan sebuah gudang dan pejabat korporat baharu di Puncak Alam, 25.4 peratus (RM18.9 juta) dipakai untuk membeli kilang sedia ada di Puncak Alam, 10.3 peratus (RM7.6 juta) untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan, 2.8 peratus (RM2.1 juta) sebagai perbelanjaan modal dan 7.5 peratus (RM5.6 juta) untuk belanja penyenaraian.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif SumiSaujana, Norazlam Norbi berkata hasil yang dikumpulkan akan meningkatkan operasi, menyokong pengeluaran skala yang lebih besar dan mengukuhkan kehadiran syarikat di pasaran utama.

"Kehadiran kami melangkaui Malaysia  dan kami telah berjaya meletakkan diri kami di pasaran antarabangsa utama, dengan lebih daripada 70 peratus pendapatan kami datang dari luar negara.

"Memandangkan sektor kimia khusus tenaga dan mampan terus berkembang, kami tetap memberi tumpuan agar terus mendahului trend industri selain memastikan penawaran kami sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat untuk bahan kimia khusus yang maju," katanya semasa pelancaran prospektus IPO syarikat itu di sini hari ini.

Sementara itu, pada sidang akhbar selepas pelancaran, Norazlam berkata syarikat itu sedang bergerak ke arah menjadi pengeluar oleokimia khusus.

"90 peratus daripada operasi pembuatan kami berada dalam industri O&G, sektor yang akan terus berkembang. Bagaimanapun, kami percaya bahawa penerokaan ke dalam oleokimia khusus akan memacu pertumbuhan lebih lanjut bagi syarikat dalam jangka pendek dan panjang," katanya.

Oleokimia khusus adalah produk kimia bernilai tinggi yang diperolehi daripada minyak semula jadi dan lemak seperti minyak sawit, minyak kacang soya serta minyak kanola, untuk digunakan di seluruh industri seperti penjagaan peribadi, farmaseutikal, pelincir dan aplikasi perindustrian.

Norazlam juga menjelaskan terdapat kekurangan dalam usaha bagi membangun dan mempromosikan pasaran oleokimia khusus yang bermutu tinggi.

"Jadi, kami mahu menyumbang kepada pasaran ini dalam masa terdekat sambil mengekalkan pendekatan yang seimbang. Tumpuan utama kami akan kekal pada industri O&G di semua sektor, walaupun kami berkembang menjadi bahan kimia perindustrian," katanya.

Permohonan untuk terbitan awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup menjelang 25 Mac 2025. Penyenaraian syarikat itu dijadualkan pada 9 April 2025. 

 RHB Investment Bank adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi langkah IPO tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan