BELANJAWAN 2025 > BERITA

Dakwaan Bloomberg: PDRM Sudah Ambil Tindakan Siasat Individu Terkait - Anwar

15/10/2024 01:18 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan termasuk memanggil wakil Bloomberg, berhubung dakwaaan agensi berita antarabangsa itu mengenai campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Anwar berkata susulan itu, beliau menyerahkan kepada PDRM untuk menjalankan siasatan secara adil dan pihak Peguam Negara untuk mengambil tindakan perundangan yang bersesuaian. 

“Setakat ini tindakan perundangan sedang diteliti kerana PDRM telah terima laporan dan telah ambil beberapa tindakan termasuk (memanggil) wakil Bloomberg dan individu terkait pada 1, 8, dan 11 Okt lalu ...tindakan, tunggu laporan dan sekiranya didapati kesalahannya nyata, itu keputusan Peguam Negara untuk mendakwa.

“SPRM sendiri telah buat kenyataan tegas menafikan tohmahan tersebut, kerana apa berlaku hanyalah arahan umum yang saya lakukan termasuk di Parlimen bahawa saya mahu SPRM, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), PDRM dan badan penguat kuasa lain bertindak tegas memerangi rasuah secara tegas, tanpa tolak ansur,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu kesediaan kerajaan untuk mengambil tindakan perundangan terhadap Bloomberg, berhubung dakwaan campur tangan Perdana Menteri dalam siasatan SPRM sehingga mencemarkan imejnya dalam memerangi rasuah. 

Pada September, Bloomberg menyiarkan laporan dengan memetik tiga sumber tidak dinamakan, mendakwa Anwar mengarahkan SPRM untuk tidak menyiasat pembelian saham sebuah syarikat melibatkan bekas Setiausaha Politiknya Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli berkenaan keseriusan kerajaan mengambil tindakan perundangan terhadap Bloomberg, kerana Perdana Menteri masih dilihat berucap di pentas persidangan dianjurkan agensi berita antarabangsa itu, Anwar berkata beliau menghadiri persidangan itu bagi menghormati prinsip kebebasan media.

“Mengapa saya terus ada hubungan dengan Bloomberg, ia media antarabangsa terkenal dan malah bila kerajaan Qatar adakan program mahu saya sebagai pengucap utama dalam persidangan dianjur oleh Bloomberg, kita bezakan kerana kita menghormati prinsip media bebas.

“Kalau ada fitnah itu, kita saman dan polis ambil tindakan khusus tentang itu tetapi bukan maknanya harus mengharamkan atau membatalkan semua acara dengan Bloomberg, dan prinsip itu harus terpakai dengan semua,” katanya.

Pada Mei lepas, Anwar dijemput sebagai antara pemimpin global berucap pada sebuah forum yang dianjurkan oleh Bloomberg di Qatar.

Sementara itu menjawab soalan tambahan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai usaha menggembleng media tempatan dan antarabangsa untuk memastikan mereka membuat laporan yang baik, Anwar berkata media harus menggunakan kebebasan itu sebaiknya bagi mengelak berlakunya kekacauan, huru-hara dan porak peranda.

“Sementara kita hormati prinsip kebebasan, tetapi kita harus ingat total freedom for the wolves has often meant death to the sheep...polis ambil (rasuah) RM3,000 itu didakwa tiada siapa pertahankan, tetapi seorang tauke kaya berbilion, bila dikaut kekayaan begitu besar, ramai yang pertahankan ini saya katakan total freedom for the wolves.

“Jadi kita sekarang ini mesti jaga supaya kebebasan itu jangan digunakan untuk pertahan kezaliman, rasuah dan penyelewengan...kita harus jaga supaya negara kita ada kerukunannya, ini bukan undang-undang saya buat, tetapi ini kita pertahankan sejak merdeka,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan