BELANJAWAN 2025 > BERITA

Banjir: PDP Empat Sekolah Jadi PPS Di Jasin Tidak Terjejas

15/10/2024 02:43 PM

MELAKA, 15 Okt (Bernama) -- Sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) empat sekolah di Jasin yang dibuka sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) tidak terjejas, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Beliau berkata ia ekoran mangsa banjir hanya ditempatkan di dewan sekolah terlibat dan bukannya di kelas atau bilik darjah.

"Proses PDP di sekolah terlibat dengan penempatan mangsa banjir berjalan lancar kerana ia tidak melibatkan penggunaan kelas atau bilik darjah.

"Namun bagi murid dari sekolah lain yang ditempatkan di PPS terlibat boleh menumpang sesi pembelajaran mengikuti darjah atau tingkatan yang setara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata berdasarkan rekod, 28 murid sekolah rendah dan 19 pelajar sekolah menengah terjejas dengan banjir yang melanda beberapa tempat di daerah terbabit sejak semalam.

Katanya pelajar berkenaan diberikan kelonggaran untuk memakai pakaian biasa yang bersesuaian ke sekolah agar tidak membebankan ibu bapa.

Media melaporkan setakat 8 pagi tadi, sebanyak 212 orang melibatkan 70 keluarga ditempatkan di empat sekolah yang dijadikan sebagai PPS di Jasin.

Sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat, SK Tedong dan SMK Dato Abdul Rahman Ya’kob.

Kesemua mangsa terbabit merupakan penduduk Kampung Kilang Berapi dan Lubok Buaya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan