BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tanah Runtuh: Penduduk Dakwa Air Mengalir Deras Dari Bukit Setiap Kali Hujan

15/10/2024 06:59 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kebimbangan penduduk Taman Melawati mengenai aliran air deras dari bukit berhampiran setiap kali hujan lebat akhirnya menjadi kenyataan apabila kejadian tanah runtuh berlaku di Jalan E6, kawasan perumahan mereka pagi tadi. 

Pesara tentera Tajul Ariffin Chu Zahari, 69, berkata penduduk telah beberapa kali menyuarakan kebimbangan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sejak tahun lepas agar tindakan segera dapat dilakukan. 

“Terdapat dua lokasi air mengalir, satu daripadanya di kawasan tanah runtuh hari ini. Jika hujan lebat, memang air mengalir deras dari atas bukit. Depan rumah penduduk juga akan dipenuhi lumpur,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata meskipun PBT telah melakukan pemeriksaan, mereka memaklumkan masalah itu dianggap ‘kes kecil’ dan tidak membahayakan. 

Shireen Nik Ibrahim, 54, yang tinggal hanya 50 meter dari lereng bukit berkenaan mendakwa beberapa kejadian runtuhan kecil pernah berlaku sebelum ini, menambah kebimbangan keluarganya yang menetap di kawasan itu sejak 2000.

“Setiap kali hujan, saya dan keluarga rasa tidak selamat sebab sering berlaku tanah runtuh kecil. Hari ini berlaku kejadian terbesar sejak saya tinggal di sini,” katanya.

Eksekutif di sebuah syarikat berkaitan kerajaan itu berkata ketika kejadian pada 9.30 pagi tadi, beliau dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum menerima panggilan daripada jiran memaklumkan insiden berkenaan selain suara jeritan, dipercayai anak perempuannya yang berada di rumah. 

“Anak saya berada dalam kereta untuk ke tempat kerja sebelum nampak ada pokok turun (tumbang). Dia segera keluar dari kereta dan berlari ke rumah jiran untuk menyelamatkan diri. Kejadian tanah runtuh berlaku sebanyak dua kali menyebabkan dia mengalami trauma yang teruk,” katanya. 

Pondok pengawal di kawasan perumahan turut terjejas, manakala laluan utama ke 20 buah rumah teres berkenaan terputus sama sekali.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail mengesahkan penghuni 20 rumah di kawasan berkenaan diarah mengosongkan kediaman masing-masing sebagai langkah keselamatan berikutan hujan lebat yang menyebabkan tanah runtuh.

Beliau berkata kesemua penduduk yang terkesan dengan kejadian itu diarahkan berpindah ke Dewan Serbaguna Jalan E5 Taman Melawati buat masa ini. 

Setakat 3.30 petang ini, kerja-kerja membersihkan kawasan, termasuk pengalihan pokok tumbang giat dijalankan oleh penduduk dengan bantuan pihak berkuasa yang terdiri daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Kerja Raya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan