BELANJAWAN 2025 > BERITA

MARDI Dipelawa Sertai TISC, Pertingkat Pengurusan Harta Intelek - Armizan

16/10/2024 01:22 PM

SERDANG, 16 Okt (Bernama) -- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) diundang untuk menyertai Pusat Sokongan Teknologi dan Inovasi (TISC) sebagai usaha mempertingkat pengurusan harta intelek institut itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata TISC merupakan pusat setempat dibangunkan Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) bagi pereka cipta dari negara-negara anggota termasuk Malaysia.

Menerusi TISC, pereka cipta akan mendapat akses kepada informasi teknologi dan penyelidikan terkini serta maklumat berkaitan perlindungan dan pengurusan hak harta intelek.

“Melalui pelawaan ini, hasrat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) adalah untuk menjadikan MARDI sebagai organisasi (host institution) ke-26 dalam TISC. 

“Penyertaan dalam TISC akan berupaya membantu MARDI dengan lebih menyeluruh dalam pengurusan harta intelek setaraf dengan institusi penyelaras yang lain di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Agroinvest 2024 Sempena Hari Inovasi MARDI, di sini hari ini.

Beliau berkata penyertaan MARDI dalam TISC membolehkan antaranya akses dalam talian kepada sumber paten dan bukan paten serta penerbitan berkaitan harta intelek.

Manfaat lain termasuk berpeluang memantau teknologi dan pesaing serta akses kepada maklumat asas mengenai undang-undang harta perindustrian, pengurusan dan strategi selain pengkomersilan teknologi serta pemasaran.

Sementara itu, Armizan berkata program Agroinvest 2024 merupakan platform bagi mempromosi inovasi teknologi pertanian termasuklah produk makanan dan hasil intelek penyelidikan MARDI kepada pemain industri pertanian dan agromakanan negara.

“KPDN melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) akan terus memperkukuh kerjasama dengan MARDI khususnya berkaitan pengurusan harta intelek,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan