BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tambah Peruntukan Perbaiki Sistem Perparitan Dalam Belanjawan 2025 - Lee

16/10/2024 08:58 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Kerajaan perlu mempertimbang untuk menambah peruntukan bagi memperbaiki sistem perparitan di ibu negara dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentang Jumaat ini, kata Pengerusi Alliance for a Safe Community Tan Sri Lee Lam Thye.

Ketika melontarkan saranan itu, beliau berkata kerajaan perlu bertindak mengatasi banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di ibu kota semalam sehingga menjejaskan lalu lintas.

"Terdapat terlalu banyak pembangunan di sini dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

"Akibatnya, sistem perparitan sedia ada tidak mampu menampung kadar pembangunan yang pesat menyebabkan hujan yang biasanya berlanjutan selama sejam atau dua jam dengan mudah membuatkan bandar raya ini dilanda banjir," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Lee turut mencadangkan agar peruntukan khas dipertimbang bagi merancang pembangunan untuk menambah baik sistem perparitan di ibu kota.

Semalam, beberapa jalan termasuk Jalan Parlimen menuju ke Bukit Aman, Jalan Perak dan Lebuhraya Sultan Iskandar dinaiki air selepas hujan lebat yang bermula pada 9 pagi.

Fenomena itu turut menyebabkan sidang Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan hingga 10.30 pagi kerana beberapa Ahli Parlimen terperangkap dalam banjir ketika dalam perjalanan ke Bangunan Parlimen.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan