BELANJAWAN 2025 > BERITA

EU Umum Bantuan Kemanusiaan €21.5 Juta Untuk Rantau Asia Pasifik

16/10/2024 10:11 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 16 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Eropah mengumumkan pakej bantuan kemanusiaan berjumlah €21.5 juta untuk rantau Asia Pasifik dengan dana diperuntukkan untuk projek di Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Malaysia.

Selain itu, penerbangan "Humanitarian Air Bridge" Kesatuan Eropah (EU) yang baharu akan menghantar bekalan penting kepada mangsa Taufan Yagi yang telah menyebabkan kemusnahan besar di seluruh rantau berkenaan.

Pakej bantuan baharu ini menjadikan jumlah sokongan EU kepada hampir €95 juta untuk tahun ini, menurut kenyataan Suruhanjaya Eropah, cabang eksekutif EU.

Pesuruhjaya Pengurusan Krisis Janez Lenarcic berkata: “Musim monsun yang berterusan amat sukar di Asia Tenggara, di mana beberapa negara telah mengalami banjir dan taufan yang teruk.

“Memandangkan bencana yang disebabkan oleh perubahan iklim menjadi lebih kerap dan dahsyat, adalah lebih penting untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan respons yang cekap.”

Lenarcic kini sedang melawat Filipina dan Indonesia untuk mengukuhkan kerjasama dalam kesiapsiagaan dan respons bencana dengan ASEAN dan rakan serantau yang lain.

Beliau akan mewakili EU pada Persidangan Menteri-menteri Asia-Pasifik mengenai Pengurangan Risiko Bencana di Manila, menekankan komitmen EU terhadap kesiapsiagaan dan respons bencana di dalam dan luar Eropah.

Baru-baru ini, EU menyediakan sokongan kepada Filipina susulan Taufan Yagi dan Gaemi.

Pada minggu ini di Jakarta, Lenarcic akan menghadiri majlis menandatangani perjanjian mengenai pengurusan bencana antara Jabatan Perlindungan Awam dan Operasi Bantuan Kemanusiaan EU dan  Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan mengenai Pengurusan Bencana ASEAN (Pusat AHA).

Perjanjian itu bertujuan meningkatkan kerjasama antara EU dan negara-negara ASEAN dalam kesiapsiagaan dan respons bencana, termasuk inisiatif untuk berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik.

Semasa lawatannya, beliau juga akan memperingati ulang tahun ke-20 tsunami dahsyat yang melanda Indonesia pada 2004, mencerminkan solidariti EU semasa respons bencana itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan