BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerajaan Pelbagaikan Portfolio Ekonomi Domestik Kurangkan Defisit Pampasan Pekerja

16/10/2024 10:06 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Kerajaan bertindak mengambil langkah mempelbagaikan portfolio ekonomi domestik untuk mengurangkan defisit dalam akaun pampasan pekerja di bawah Akaun Pendapatan Primer Imbangan Pembayaran, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF menjelaskan usaha itu diyakini dapat menyumbang kepada tarikan pelaburan ke arah mewujudkan industri dan aktiviti bernilai tambah tinggi dan berkualiti merentas semua sektor domestik yang seterusnya memberikan lebih banyak peluang kepada kepakaran dan meningkatkan guna tenaga tempatan.

“Selain itu, kerajaan meneruskan usaha meningkatkan produktiviti pekerja melalui pembangunan kapasiti bagi memenuhi keperluan industri di samping menggalakkan penerimagunaan pendigitalan dan automasi,” menurut kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

MOF menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai langkah untuk mengurangkan desifit Akaun Pendapatan Imbangan Pembayaran khususnya kompenen pampasan pekerja berikutan penghantaran pulang pendapatan pekerja warga asing dan sumbangan rendah warga Malaysia yang bekerja di luar negara.

Kementerian itu menjelaskan akaun pampasan pekerja telah mencatatkan defisit sejak beberapa dekad disebabkan oleh aliran wang keluar yang lebih tinggi secara konsisten.

Aliran wang masuk bagi akaun pampasan pekerja, iaitu gaji dan faedah lain yang diperoleh warganegara Malaysia yang bekerja di luar negara, menyaksikan trend penurunan pada 2018 hingga 2020 yang masing-masing direkodkan sebanyak RM6.8 bilion, RM6.6 bilion dan RM6 bilion, tambah MOF.

Terimaan bagi akaun pampasan pekerja seterusnya menunjukkan trend peningkatan dengan aliran wang masuk sebanyak RM6.4 bilion dicatatkan pada 2021 dan RM7.1 bilion pada 2022, menurutnya.

Momentum peningkatan dalam aliran wang masuk berterusan pada 2023 iaitu sebanyak RM7.8 bilion.

“Pada separuh pertama 2024, terimaan dalam akaun pampasan pekerja direkodkan sebanyak RM3.8 bilion,” jelas MOF.

Menurut kementerian itu, aliran wang keluar dalam akaun pampasan pekerja, iaitu gaji dan faedah lain yang diperoleh warganegara asing yang bekerja di Malaysia, mencatatkan trend peningkatan bagi tempoh 2011 hingga 2016 sebelum menunjukkan peningkatan ketara pada 2018 kepada RM14.4 bilion berbanding RM11.9 bilion pada 2017.

Bayaran terus meningkat dan mencatatkan RM15.8 bilion pada 2019, tambahnya.

MOF menjelaskan apabila pandemik COVID-19 melanda, aliran wang keluar bagi akaun pampasan pekerja berkurang kepada RM14.1 bilion pada 2020 dan RM13.1 bilion pada 2021.

Bayaran dalam akaun pampasan melonjak kepada RM14.5 bilion pada 2022 dan RM15.9 bilion pada 2023.

“Peningkatan dalam bayaran tersebut mencerminkan aktiviti domestik yang kembali rancak seterusnya menyumbang kepada peluang pekerjaan serta peningkatan kepada pampasan pekerja,” tambah kementerian itu.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan