BELANJAWAN 2025 > BERITA

Penggulungan, Pengundian Pindaan Perlembagaan Berkaitan Kewarganegaraan Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

17/10/2024 08:06 AM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini bakal tertumpu kepada sesi penggulungan perbahasan dan pengundian bagi Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dijangka menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan.

Pindaan itu antara lain memperuntukkan hak sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.

Rang undang-undang itu memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen untuk diluluskan di Dewan Rakyat.

Seramai 59 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan rang undang-undang itu semalam.

Sementara itu, situasi keselamatan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan susulan serangan tentera Israel turut dibincangkan di Dewan Rakyat.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara itu dikemukakan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) kepada Menteri Pertahanan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Pada sesi sama, Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) bertanyakan Menteri Dalam Negeri berhubung usaha yang dilaksanakan bagi menangani kes kanak-kanak hilang yang dilaporkan semakin meningkat dan merekodkan hingga dua kes sehari.

Turut menarik perhatian,  soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) kepada Perdana Menteri pada sesi soal jawab lisan berhubung aktiviti persundalan, pergaduhan warga asing tanpa permit dan kebanjiran penjaja warga asing di ibu negara yang masih tidak berkurangan walaupun KL Strike Force telah diaktifkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan