BELANJAWAN 2025 > BERITA

Johari Bakal Terajui Kepengerusian Legislatif ASEAN Dalam Perhimpunan Agung AIPA Di Laos

18/10/2024 09:24 AM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengetuai delegasi Parlimen Malaysia ke Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA GA) ke-45 di Ventiane, Laos  bermula hari ini hingga 22 Okt.

Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam satu kenyataan memaklumkan kemuncak perhimpunan agung itu akan menyaksikan Johari menyampaikan ucapan penerimaan beliau sebagai Pengerusi AIPA 2025.

Kenyataan itu memaklumkan Johari akan menggariskan visi Parlimen Malaysia sepanjang tempoh kepengerusian AIPA melalui kesepaduan dan kolaborasi erat antara Ahli Parlimen rantau Asia Tenggara.

“(Ini) termasuk memperkukuhkan kerjasama dalam memastikan keselamatan makanan yang mampan, mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui untuk pembangunan lestari serta merapatkan jurang digital dan mempromosikan keterangkuman dalam pembangunan teknologi,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Johari telah mengetuai delegasi Parlimen Malaysia ke mesyuarat Sesi Bersemuka Pemimpin ASEAN bersama Wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Vientiane pada 8 hingga 10 Okt lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir sama pada sidang kemuncak itu sebagai ketua peringkat eksekutif menggesa Parlimen di negara ASEAN agar membuka ruang lebih besar kepada ahlinya untuk saling bertukar pandangan memandangkan posisi Asia sedang melonjak sebagai medan ekonomi yang unggul.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan