BELANJAWAN 2025 > BERITA

LHDN Anjur Pelbagai Program Kesedaran Sepanjang Bulan Pendidikan Cukai

18/10/2024 12:07 PM

PUTRAJAYA, 18 Okt (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menetapkan Oktober sebagai Bulan Pendidikan Cukai bermula tahun ini dengan pelbagai pengisian program kesedaran dan pendidikan cukai di seluruh negara.

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya terus komited dalam menyebarluaskan maklumat percukaian bagi memastikan rakyat ‘celik cukai’ menerusi pelbagai program pendidikan dan kesedaran kepada segenap lapisan rakyat.

"Diharap penganjuran Bulan Pendidikan Cukai ini dapat menjadi platform bagi mempromosikan LHDN agar tahap pematuhan cukai secara sukarela dapat ditingkatkan selaras dengan aspirasi LHDN untuk menyebarluaskan pendidikan percukaian kepada semua peringkat umur dan latar belakang," menurut kenyataan itu.

Pengisian program akan menggabungkan pelbagai elemen pendidikan cukai dan keusahawanan menerusi aktiviti seperti Mini Karnival HASiL Negeri; Segmen Pocket Talk; Bengkel Business Entreprenuer Support and Training (BEST); Taklimat e-Invois; Program Sahabat HASiL; HASiL Your Tax Buddy@IPT; siar pod bersama pempengaruh tempatan dan sebagainya. 

Turut diadakan pelbagai aktiviti bertemakan pendidikan, kesedaran dan pematuhan cukai seperti Pertandingan Menulis Esei, Pertandingan Video Kesedaran Cukai, Pertandingan Video TikTok, Pertandingan Poster Grafik, Kuiz Percukaian, Kuiz Percukaian di radio dan sebagainya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata program berkenaan dirancang bukan sahaja bertujuan meluaskan keterlibatan LHDN dengan rakyat malah bagi mencapai objektif murni iaitu berkongsi peranan dan fungsi LHDN ke arah memakmurkan negara serta menyejahterakan rakyat. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan