BELANJAWAN 2025 > BERITA

JS-SEZ Perkukuh Sinergi Ekonomi Malaysia-Singapura Sebagai Hab Global

18/10/2024 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) – Dalam melangkah ke hadapan, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan menjadi pemangkin untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dua hala demi meningkatkan lagi potensi pertumbuhan Malaysia dan Singapura.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2025 yang dikeluarkan hari ini, berdasarkan kekuatan dan persamaan kedua-dua negara, JS-SEZ dijangka dapat memberikan manfaat bersama.

“Manfaat itu meliputi meningkatkan aktiviti perniagaan rentas sempadan melalui mobiliti dan integrasi yang lebih baik selain mendorong peningkatan mobiliti, pertukaran bakat dan kerjasama melalui pasaran buruh yang dinamik dan bersepadu;

“Manfaat lain adalah meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan dengan disokong oleh persekitaran perniagaan yang kondusif; serta memanfaatkan sinergi untuk menambah baik infrastruktur pengangkutan, menyelaraskan prosedur kastam dan memupuk integrasi ekonomi yang lebih erat,” tambah MOF.

Kementerian itu menjelaskan JS-SEZ juga akan memberi manfaat apabila dapat membangunkan perkhidmatan bernilai tambah tinggi dan pembuatan termaju di zon itu untuk meningkatkan kompleksiti ekonomi.

Menurut MOF, pembangunan JS-SEZ bermatlamat untuk menjadi zon ekonomi yang dinamik dan berdaya saing serta diteraju oleh sektor swasta yang mampu meningkatkan potensi ekonomi Malaysia dan Singapura sebagai hab global di sepanjang laluan yang merupakan laluan perkapalan tersibuk di dunia.

Zon Ekonomi Khas (ZES) itu diilhamkan daripada inisiatif serupa di negara lain seperti Shenzen SEZ dan Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai, tambahnya.

“Inisiatif JS-SEZ mencerminkan usaha sama penting dalam kerjasama ekonomi sedia ada antara Malaysia dan Singapura. Inisiatif ini memanfaatkan kekuatan unik dan persamaan bagi memastikan kejayaan pelaksanaan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Cadangan (pembentukan) JS-SEZ sejajar dengan matlamat yang digariskan dalam pelan pembangunan peringkat Johor, Malaysia dan Singapura, antaranya ialah Zon Kewangan Khas Forest City (Johor), Strategi Semikonduktor Nasional (Malaysia) dan Singapore Industry Transformation Maps di bawah pelan pembangunan negara itu,” menurut MOF.

MOF berkata pelan pembangunan itu mempunyai matlamat yang sama termasuk menggalakkan pelaburan ekonomi bernilai tinggi, memberikan tumpuan kepada pembangunan inklusif dan meningkatkan pertumbuhan mampan.

JS-SEZ akan meningkatkan perdagangan dan perhubungan antara Malaysia dengan Singapura, menggalakkan pemindahan teknologi dan merangsang pertumbuhan dalam pelbagai industry, menurut kementerian itu.

Antara industri tumpuan JS-SEZ adalah logistik, perkhidmatan kewangan dan perniagaan, pelancongan, keterjaminan makanan, pendidikan, penjagaan kesihatan, ekonomi digital, tenaga serta pembuatan.

MOF menjelaskan dalam pada itu, Zon Kewangan Khas Forest City yang terletak di Iskandar Puteri dijangka dapat menarik pelaburan syarikat global dengan menawarkan pelbagai insentif percukaian.

Ia termasuk pengecualian dan penetapan kadar khas cukai korporat bagi syarikat, penetapan kadar khas cukai pendapatan pekerja mahir serta pengecualian dan pengurangan duti setem bagi urusan pindah milik hartanah, tambahnya.

Penubuhan pusat perniagaan sehenti di JS-SEZ dijangka dapat mempercepat proses kelulusan permohonan syarikat global untuk melabur di Forest City sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk rakyat, merancakkan perniagaan dan meningkatkan pertumbuhan negeri dan negara.

Pada Julai 2024, Parlimen telah meluluskan pindaan lima rang undang-undang untuk menjadikan Pulau Satu sebagai pulau bebas cukai yang akan menggalakkan aktiviti ekonomi di Iskandar Malaysia termasuk aktiviti kewangan, pelancongan dan peruncitan seterusnya memberi manfaat kepada kedua-dua negara, tambah MOF.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan