BELANJAWAN 2025 > BERITA

Banjir: Kerajaan Arahkan Penyaluran Segera RM150 Juta Kepada PBT, JPS - PM Anwar

18/10/2024 05:31 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan telah mengarahkan penyaluran segera RM150 juta kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mulakan kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai di kota-kota yang terkesan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat hari ini berkata penyaluran itu bagi menghadapi musibah banjir kilat yang melanda ibu negara dan beberapa bandar lain.

“Pada masa yang sama pengurusan bencana negara terus ditambah baik di samping menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir melibatkan kerjasama semua kontraktor.

“Peruntukan hampir RM600 juta disediakan untuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai persiapan mendepani musibah banjir. Ini termasuk lebih RM300 juta yang telah disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.

“Selain itu, RM20 juta geran padanan disediakan segera kepada Yayasan GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) untuk memperhebat respons dan penyaluran bantuan kepada mangsa di kawasan terjejas banjir,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata PBT serta warga bandar perlu bersama-sama memastikan longkang dan parit tersumbat yang mengakibatkan banjir kilat dapat ditangani segera.

Beliau berkata kerajaan telah berjaya menyiapkan lapan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM540 juta.

“Seterusnya 12 projek RTB dengan kos RM3 bilion telah dikeluarkan SST dan berjalan mengikut jadual antaranya melibatkan RTB Sungai Damansara, Selangor; RTB Sungai Likas, Kota Kinabalu, Sabah; RTB Sungai Triang, Bera, Pahang; RTB Sungai Tepoh dan Banggol Air Lilih, Kuala Nerus, Terengganu; dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 2, Kota Bharu,” katanya.

Sementara itu bagi mengawal insiden tanah jerlus dan tanah runtuh daripada berulang, Anwar berkata beberapa projek akan dilaksanakan meliputi lebih RM250 juta untuk membaiki cerun seluruh negara dan RM21 juta untuk mengekang isu tanah jerlus di Kerian Laut, Perak, Kedah dan Perlis.

“Selain itu RM10 juta bagi melaksanakan Kajian Geoteknikal Struktur Lapisan Tanah di jalan-jalan utama sekitar Segi Tiga Emas Kuala Lumpur,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan