BELANJAWAN 2025 > BERITA

RM1.3 Bilion Untuk Perkasa Kontraktor G1-G4 Khususnya Bumiputera - PM

18/10/2024 10:09 PM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM1.3 bilion bagi memperkasakan kontraktor G1-G4 khususnya Bumiputera untuk memberi peluang kepada mereka melaksanakan projek kecil dan sederhana seperti pembinaan jalan raya serta pembaikan dan penyelenggaraan prasarana awam. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pada masa sama, sejumlah RM200 juta disediakan untuk Skim CAKNA 2 bagi menyokong aliran tunai kontraktor G1-G4 menyiapkan projek berskala kecil kerajaan bernilai sehingga RM1.5 juta. 

Beliau berkata bagi menyokong dan memperkasakan usahawan Bumiputera, pemusatan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Ekuinas di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera akan dilaksana sepanjang kitaran perniagaan mereka. 

"Umpamanya, Ekuinas akan melabur dalam syarikat pertengahan dan setelah itu, syarikat yang berjaya disenaraikan serta mendapat pelaburan sewajarnya daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB).

“Tahun hadapan, RM800 juta pembiayaan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) tersedia untuk lebih ramai usahawan Bumiputera termasuk bagi menyokong artis tempatan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini. 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera adalah dengan tekad membawa pengarahan dan kebijakan baharu kerana kita tidak lagi boleh terkurung dengan cara lama menguruskan agensi dengan tatakelola rendah atau menggunakan agensi bagi memperkaya kerabat sendiri sehingga lupa agenda utama iaitu mengangkat darjat dan martabat Bumiputera. 

Beliau juga berkata buat pertama kalinya dalam sejarah, Kerajaan MADANI telah bersetuju supaya 50 ekar daripada pembangunan projek strategik Bandar Malaysia diperuntukkan sebagai Tanah Rizab Melayu.

"Ini hanya permulaan dalam mengenal pasti tanah-tanah kerajaan yang sesuai bagi memastikan aspek pembangunan turut tidak mengabaikan keseimbangan sosioekonomi jangka panjang di kawasan bandar," katanya.

Perdana Menteri berkata PNB dan PHB juga akan terus meningkatkan kerjasama dalam membangunkan Tanah Rizab Melayu dalam projek perumahan mampu milik, penginapan pelajar dan pembangunan komersial. 

Sementara itu, Anwar berkata bagi memelihara modal insan, sosial dan kebajikan masyarakat India pula, sebanyak RM130 juta disediakan khusus untuk melaksanakan pelbagai program termasuk pembiayaan perniagaan. 

Perdana Menteri juga berkata kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi memperkasa kemudahan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara. 

Anwar berkata peruntukan itu disalurkan bagi membina gerai dan membaik pulih prasarana pasar awam di semua pihak berkuasa tempatan seluruh negara selain menyediakan ruang niaga kepada penjaja kecil Tamu Desa Sabah serta Sarawak.

“Peruntukan juga adalah untuk menaik taraf kemudahan perniagaan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Amanah Rakyat.

“Pendirian saya kekal bahawa keadaan warung, gerai dan pasar perlu dijamin tahap keselesaan serta keselamatannya,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan