BELANJAWAN 2025 > BERITA

Cukai Karbon Tangani Kebimbangan Berkaitan Alam Sekitar, Pelaksanaan Perlu Diperjelas

19/10/2024 01:46 AM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Cadangan kerajaan untuk memperkenalkan cukai karbon ke atas industri keluli, besi dan tenaga menjelang 2026 menangani kebimbangan mengenai alam sekitar, yang secara kolektif mewujudkan sistem cukai yang lebih teguh dan adil serta menyokong matlamat ekonomi dan alam sekitar untuk jangka panjang.

Ketua Percukaian PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia Steve Chia berkata cukai karbon juga boleh disifatkan sebagai maklum balas Malaysia terhadap mekanisme pelarasan sempadan karbon Kesatuan Eropah.

“Secara keseluruhannya, Belanjawan 2025 adalah mengenai perancangan untuk masa depan, berlandaskan sentimen ekonomi yang positif memandangkan tumpuannya terhadap langkah cukai yang progresif.

“Bagaimanapun, langkah tertentu seperti meluaskan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), memperkenalkan cukai karbon dan caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk pekerja bukan warganegara memerlukan penjelasan di luar daripada tarikh pelaksanaan yang dicadangkan bagi memudahkan persediaan dalam perubahan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chia berkata turut disambut baik adalah ketiadaan cukai baharu utama diperkenalkan dalam Belanjawan 2025, justeru perniagaan dapat menarik nafas lega selepas pelbagai perubahan diumumkan dalam belanjawan sebelum ini.

Menurutnya dengan cukai minimum global yang dijangka memberikan peluang persaingan yang sama rata dengan insentif cukai, terdapat keperluan penting untuk menambah baik rejim insentif bagi memastikan Malaysia akan menarik pelaburan bernilai tinggi dan pertumbuhan tinggi untuk terus mendorong Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.

“Belanjawan 2025 menangani isu itu menerusi tiga cadangan utama -- memperkemas insentif sedia ada, memperkenalkan insentif bukan cukai, dan komitmen untuk mengkaji semula kebolehlaksanaan kredit cukai pelaburan strategik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Percukaian KPMG Malaysia Soh Lian Seng berkata tindakan meluaskan asas hasil cukai Malaysia melalui pengenaan cukai dividen dua peratus (bermula tahun taksiran 2025) ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diperoleh pemegang saham individu adalah idea yang unik, menyasarkan 15 peratus pembayar cukai teratas tanpa membebankan lagi 85 peratus yang lain.

“Hasil positif untuk manfaat pembangunan negara juga boleh dijangka dengan pengenalan cukai karbon, kenaikan kadar duti eksais secara berperingkat ke atas minuman bergula serta langkah meluaskan skop dan liputan kadar SST secara progresif.

“Diharapkan semua pembaharuan cukai ini dapat disokong dengan peraturan yang jelas, garis panduan, dan pelan peralihan yang munasabah untuk memastikan pelaksanaan yang berjaya,” katanya.

Mengenai pengumuman itu, Ketua Percukaian Negara Deloitte Malaysia Sim Kwang Gek berkata pendekatan itu jelas bertujuan mengenakan cukai kepada kumpulan berpendapatan tinggi yang menerima pendapatan dividen yang besar.

“Penjelasan lanjut diperlukan mengenai pengecualian yang diberikan ke atas dividen daripada syarikat yang menikmati status perintis dan insentif elaun pelaburan semula.

“Ini kerana lazimnya dividen diterima daripada syarikat pegangan pelaburan yang mempunyai anak syarikat yang menuntut insentif cukai tersebut. Adakah pengecualian itu terpakai dalam senario sedemikian?,” katanya.

Sim juga berkata hasil daripada cukai karbon, yang akan digunakan untuk membiayai program penyelidikan dan teknologi hijau, adalah satu cadangan yang dialu-alukan untuk memastikan Malaysia mencapai aspirasi sifar bersih.

“Bagaimanapun, pertimbangan boleh diberikan untuk cadangan memperuntukkan jumlah tertentu bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana yang mempunyai sumber kewangan terhad untuk beralih kepada pelaburan hijau,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan