BELANJAWAN 2025 > BERITA

Peruntukan RM320 Juta Tambah Baik Kehidupan Rakyat, Capaian Internet Lebih Berkualiti - MCMC

19/10/2024 10:58 AM

PUTRAJAYA, 19 Okt (Bernama) -- Peruntukan RM320 juta di bawah Belanjawan 2025 bertujuan untuk peningkatan capaian internet, mampu menganjak produktiviti institusi pendidikan serta taraf hidup rakyat, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya komited untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam memastikan capaian internet yang berkualiti demi kesejahteraan rakyat.

Di bawah Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, kerajaan memperuntukkan RM120 juta untuk penambahbaikan liputan internet di Institusi Pengajian Tinggi Awam.

MCMC berkata peruntukan itu dapat membantu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan. 

Peruntukan RM100 juta di bawah Program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Talian Tetap ke Sekolah-sekolah Luar Bandar pula, menurut MCMC akan membantu meningkatkan capaian internet di sekolah desa dan pedalaman seluruh negara.

"Selain itu, MCMC turut mengalu-alukan peruntukan RM100 juta untuk pemerkasaan fungsi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara bagi tempoh lima tahun akan datang. 

"Peruntukan itu dapat membantu rakyat meningkatkan pendapatan menerusi aktiviti keusahawanan dalam talian seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital," menurut kenyataan itu.

MCMC berkata pada masa yang sama rangkaian kedua 5G yang bakal diumumkan kelak berupaya meningkatkan daya saing industri tempatan sekali gus membolehkan mereka bersaing ke peringkat yang lebih tinggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan