BERITA TERGEMPAR   PM Anwar arrives in Jakarta to attend Indonesian presidential inauguration | 
 BELANJAWAN 2025 > BERITA

Laksana Segera Projek Kawalan Hakisan Pantai, Elak Tanggung Kos Tinggi - Ahmad Zahid

19/10/2024 06:11 PM

KUANTAN, 19 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan menanggung kos perbelanjaan yang tinggi hingga mencecah RM1 trilion sekiranya projek pengawalan hakisan pantai tidak dilakukan segera, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPPP) itu berkata amat penting projek berkenaan dilakukan lebih awal dalam mengurangkan risiko dan kesan bencana selain dapat menjimatkan kos  perbelanjaan.

Situasi itu menurut Ahmad Zahid, tidak boleh dipandang ringan berdasarkan perubahan iklim dan pemanasan global yang berlaku serta unjuran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) pada 2050 yang mendedahkan pulau-pulau kecil di Lautan Pasifik, Lautan Hindi akan berada di bawah paras laut. 

"Mengikut unjuran SDG pada 2050, pulau-pulau kecil di Lautan Hindi dan Lautan Pasifik akan berada di bawah paras laut. Ertinya, ini akan mengakibatkan kawasan pantai sama ada barat atau timur di Semenanjung dan kawasan pantai di Sabah dan Sarawak akan mengalami hakisannya.

"Pada 2050, jangkaannya kalau tidak dibuat sekarang, kita akan membelanjakan tidak kurang daripada RM1 trilion," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Halal On Track @ Pahang di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ahmad Zahid diminta mengulas mengenai peruntukan RM600 juta yang disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi tujuan menghadapi banjir semasa pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.

Ia termasuk lebih RM300 juta yang telah disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.

Ahmad Zahid berkata pihaknya melakukan koordinasi dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dengan pelaksanaan projek tebatan banjir terletak di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran selain kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir telah disenaraikan.

Selain itu, beliau berkata kerajaan turut menyediakan peruntukan untuk pembinaan pusat pemindahan sementara (PPS) kekal yang dilengkapi semua kemudahan asas bagi menggantikan sekolah dan dewan orang ramai.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan