BELANJAWAN 2025 > BERITA

LTAT Pastikan Pengorbanan Anggota Tentera Diiktiraf Melalui Strategi Pelaburan

19/10/2024 10:40 PM

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan memastikan kerja keras dan pengorbanan anggota tentera diiktiraf melalui strategi pelaburan berkesan dan memberikan nilai jangka panjang menerusi Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Ketua Eksekutifnya Mohammad Ashraf Md Radzi berkata Belanjawan 2025 yang memberikan tumpuan kepada usaha mengangkat daya saing negara, mempromosikan pertumbuhan inklusif serta melonjakkan tadbir urus seiring komitmen LTAT dalam mencipta nilai jangka panjang untuk negara.

“LTAT dan Kumpulan Syarikat kami beriltizam sepenuhnya untuk menyokong aspirasi Belanjawan 2025.

“Sebagai pelabur institusi strategik, fokus kami seiring dengan kepentingan nasional dan matlamat pembangunan utama di samping memastikan masa depan lebih makmur untuk para perwira negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

LTAT juga komited memainkan peranan penting dalam mencerna hasil positif, dan optimis bahawa belanjawan ini akan mempercepat momentum ekonomi, mempromosikan pembangunan mampan selain menyediakan ekosistem kondusif untuk pelaburan.

Mohammad Ashraf turut memberikan jaminan bahawa LTAT akan terus menghargai pengorbanan angkatan tentera melalui pelaburan yang bijak bagi memastikan kelestarian kewangan para veteran serta pertumbuhan mampan untuk kesejahteraan ahli dan generasi akan datang.

“Melalui pelaburan strategik kami, LTAT berhasrat mengurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan kritikal yang diimport. Pengeluaran insulin dan vaksin halal tempatan oleh Pharmaniaga, sebagai contoh, merupakan langkah penting dalam memperkukuh infrastruktur kesihatan negara.

“Ini akan mengurangkan kebergantungan kepada import serta memastikan akses yang lebih luas kepada penjagaan kesihatan berkualiti tinggi dan mampu milik untuk semua rakyat Malaysia selaras dengan Belanjawan 2025,” katanya.

Dengan peruntukan sebanyak RM440 bilion kepada pasaran modal domestik dan RM120 bilion untuk pelaburan langsung domestik melalui ikhtiar GEAR-uP, LTAT juga bersedia merebut peluang baharu bagi menyumbang secara signifikan kepada kemampanan ekonomi negara.

Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan meningkatkan pelaburan langsung dalam negara berjumlah RM120 bilion bagi tempoh lima tahun dengan RM25 bilion dilaburkan tahun hadapan.         

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan