BELANJAWAN 2025 > BERITA

Etiqa Offshore Insurance Lancar Program Penanaman Pokok Bakau Promosi Kelestarian

20/10/2024 08:57 PM

LABUAN, 20 Okt (Bernama) -- Etiqa Offshore Insurance (L) Ltd (EOIL) mengulangi komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dengan pelancaran Program Pendidikan dan Penanaman Pokok Bakau lanjutan di Paya Bakau Kina Benuwa, sebuah kawasan hutan simpan yang diwartakan di pulau itu.

Menerusi kenyataan kepada Bernama hari ini, EOIL memaklumkan acara sehari ini adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dianjur berdasarkan kejayaan Program Pendidikan Kelestarian 2023 sempena Hari CR Global Maybank.

Program itu, yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Labuan, Alumni Universiti Malaysia Sabah dan Persatuan Pemuliharaan Tanah Lembap Sabah, menghimpunkan 40 murid daripada Sekolah Antarabangsa Labuan, Sekolah Kebangsaan Pekan Dua, Sekolah Jenis Kebangsaan Chi Wen serta Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun.

Menurut EOIL, setiap murid menanam sehingga lima anak pokok bakau yang menghasilkan jumlah keseluruhan 200 pokok baharu dan inisiatif itu bertujuan menyokong ekosistem perairan pantai serta menyumbang kepada usaha mengurangkan kesan perubahan iklim.

Pengerusi EOIL Datuk Majid Mohamad berkata acara itu membuktikan dedikasi EOIL terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Beliau berkata ia bukan sahaja meningkatkan kesedaran mengenai isu global yang kritikal seperti pencairan glasier dan peningkatan paras laut tetapi juga memberi pengalaman praktikal kepada pelajar dalam pemuliharaan alam sekitar.

Pegawai utama EOIL Rosfadzilani Ghani pula mengaitkan kejayaan program itu dengan kerjasama agensi kerajaan, sektor pendidikan dan pihak berkepentingan lain.

“Projek ini menawarkan peluang kepada pelajar dan guru untuk mengubah teori kepada tindakan sekali gus meraih pengetahuan langsung mengenai peranan penting pokok bakau dalam menangani perubahan iklim,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen jangka panjang EOIL terhadap kelestarian dengan harapan program itu akan memberi inspirasi kepada pengurusan alam sekitar yang berkekalan dalam kalangan komuniti.

“Dengan melibatkan sekolah dan pihak berkuasa tempatan, EOIL bertujuan memupuk perubahan yang bermakna dan menyumbang kepada usaha global bagi melindungi bumi untuk generasi akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan