BELANJAWAN 2025 > BERITA

MARii, Dassault SystÈmes Dan Feiran Technology Bekerjasama Jadikan Malaysia Hab Automotif ASEAN

21/10/2024 02:09 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Dassault Systèmes dan Feiran Technology menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bertujuan memacu pertumbuhan dan inovasi dalam sektor automotif Malaysia.

Menurut kenyataan bersama MARii dan Dassault Systèmes, MoU itu menyepadukan teknologi, kepakaran industri dan pendidikan untuk meningkatkan daya saing yang mampan di pasaran global, meletakkan Malaysia sebagai hab automotif yang berpotensi dalam ASEAN.

“MoU ini menggariskan rangka kerja komprehensif untuk menyokong penubuhan Pusat Kecemerlangan (COE) khususnya untuk inovasi digital dan pembangunan kemahiran profesional.

"Memanfaatkan platform 3DEXPERIENCE Dassault Systèmes, COE ini akan menumpukan kepada pembangunan tenaga kerja di masa depan melalui program latihan dan pensijilan yang disasarkan," katanya.

Inisiatif utama dalam COE termasuk Studio Penggayaan Automotif, Pusat Analisis Data Besar dan Pusat Robotik yang direka untuk menangani cabaran industri dunia nyata sambil meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam inovasi automotif.

Satu peristiwa penting dalam MoU itu ialah mewujudkan Pusat Latihan dan Pensijilan Dassault Systèmes  yang pertama di Malaysia dalam COE berkenaan.

"Dilengkapi dengan keupayaan canggih, pusat itu akan menawarkan pensijilan komprehensif merentas reka bentuk produk, pembuatan, simulasi dan operasi kerjasama.

"Program ini bertujuan meningkatkan kemahiran tenaga kerja automotif tempatan, membolehkan mereka menggunakan peralatan dan metodologi digital terkini," tambah kenyataan itu.

Selain itu, Dassault Systèmes akan bertindak sebagai penasihat untuk inisiatif MARii, memberikan pandangan tentang teknologi baru muncul seperti kenderaan elektrik dan kemampanan.

Dengan memudahkan pemindahan pengetahuan dan akses kepada pembangunan termaju, perkongsian ini bertujuan untuk memperkasa pihak-pihak berkepentingan tempatan menerima inovasi, mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam inovasi automotif.

Ketua Pegawai Eksekutif MARii Azrul Reza Aziz berkata Pusat Latihan dan Pensijilan MARii - Dassault Systèmes menandakan kejayaan penting dalam perjalanan Malaysia ke arah membina ekosistem automotif yang berdaya saing di peringkat global.

“Sejajar dengan Dasar Automotif Negara 2020 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, pusat itu akan bertindak sebagai pemangkin untuk memupuk tenaga kerja sedia masa depan yang lengkap bagi merebut peluang-peluang baru muncul dalam pasaran automotif yang dinamik,” katanya.

Pengarah Urusan Feiran Technology Shabudin Md Saman berkata syarikat itu telah menjadi rakan kongsi platinum Dassault Systèmes selama lebih 20 tahun.

"Dengan pemahaman mendalam mengenai pasaran tempatan, Feiran Technology berharap dapat meningkatkan sektor automotif Malaysia ke tahap baharu dalam daya saing global bersama MARii," katanya.

Naib Presiden Eksekutif Dassault Systèmes untuk Asia-Pasifik Samson Khaou menambah, "Kerjasama kami dengan MARii dan Feiran Technology bertujuan memperkasakan tenaga kerja automotif Malaysia melalui penyelesaian berkembar secara maya yang dikuasakan oleh platform 3DEXPERIENCE.

"Membangunkan bakat digital akan memberikan Malaysia kelebihan daya saing merentasi keseluruhan rantaian nilai automotif. Membuka kunci potensi industri adalah penting untuk memacu inovasi yang mampan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan