BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sultan Pahang Titah Kaji Cerun Lebih Terperinci, Elak Insiden Tanah Runtuh Berulang

21/10/2024 06:09 PM

KUANTAN, 21 Okt (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  menitahkan agar kajian khusus berhubung cerun dilakukan oleh pihak berkaitan agar kejadian tanah runtuh di negeri ini tidak berulang. 

Menurut laman Facebook Kesultanan Pahang, baginda bertitah pihak yang mempunyai kepakaran diminta melakukan kajian bagi memastikan kawasan yang sering kali mengalami insiden itu, selamat didiami penduduk. 

“Saya harap pihak yang pakar mengenai cerun seperti JKR (Jabatan Kerja Raya), JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) membuat tinjauan dan kajian terperinci supaya ada satu penilaian khusus terutamanya di kawasan yang banyak penduduk agar kejadian sama (tanah runtuh) tidak berulang.

"Kita perlukan kajian ini, kita perlu nasihat dan pandangan yang tepat bagi mengatasi kejadian cerun atau tanah runtuh terutamanya di tempat sama. Kita nak bagi keyakinan seandainya tempat yang dihuni mereka adalah selamat atau sebaliknya," titah baginda ketika berkenan melawat Kampung Orang Asli Sungai Ruil, Cameron Highlands.

Pada 7 Okt lepas, seramai 70 penduduk daripada 12 keluarga kampung berkenaan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sungai Ruil selama 11 hari susulan tanah runtuh dan banjir lumpur. 

Dalam majlis sama, baginda turut berkenan menyampaikan kurniaan sumbangan kepada 12 keluarga yang terlibat dengan insiden itu.   

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah menasihati penduduk agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling terutamanya ketika musim hujan.

"Saya harap semua mangsa bersabar, kejadian ini bukanlah kehendak kita tapi semuanya dari Allah SWT. Terima kasih kepada semua agensi terlibat...masuk kali keempat kawasan ini (Sungai Ruil) terlibat dengan tanah runtuh.

 "Kita tak boleh lari dari masalah cerun dan tanah runtuh ini kerana ia adalah kuasa alam (natural force), namun ia bukan hanya berlaku di Pahang tetapi juga di tempat lain seperti di Selangor baru-baru ini," titah baginda. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan