BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerajaan Teliti Guna Pangkalan Data, E-Dompet Bagi Penyasaran Subsidi RON95

21/10/2024 06:37 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) – Kerajaan sedang mempertimbang menggunakan pangkalan data yang dihubungkan dengan kad pengenalan selain e-dompet dan kad debit yang dijadikan sebahagian daripada mekanisme sistem penetapan harga dua peringkat bagi penyasaran subsidi RON95.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican ini penting bagi memastikan kerajaan dapat mewujudkan mekanisme yang dapat mengurangkan ketirisan subsidi berkenaan.

“Kerajaan kekal komited dalam memastikan rakyat terus mendapat manfaat daripada subsidi ini. Perincian mekanisme itu masih diperhalusi dan perlu dimuktamadkan, malah inilah alasannya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa pelaksanaan itu hanya pada pertengahan tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar Debat Pasca Belanjawan 2025 anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) di sini, hari ini yang turut dihadiri oleh Presiden MEA Yeah Kim Leng.

Sesi dialog itu dikendalikan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia Tan Sri Sulaiman Mahbob dan ahli panel termasuk Pengarah Institut Pembangunan dan Pengurusan Inklusif Malaysia Tan Sri Noor Azlan Ghazali dan Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Ambank Firdaos Rosli.

Menjelaskan mekanisme RON95 dengan penyasaran subsidi diesel, Johan berkata terdapat kemungkinan pelaksanaan itu menyamai Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa manfaat utama harga pam mengikut harga pasaran adalah dari segi kemampuan untuk mengurangkan ketirisan secara serta-merta.

“Kita mendapati wujud ketirisan (selepas pengenalan mekanisme subsidi), bukan setakat di seberang sempadan tetapi juga industri yang sepatutnya membeli pada harga komersial.

“Kekurangan 30 peratus diesel itu berlaku dari segi penjualan di stesen-stesen minyak selain peningkatan jualan perniagaan komersial yang menunjukkan kedua-dua aspek itu sedang ditangani,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan