BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerajaan Pertimbang Cadangan Bina Denai Sungai Kebangsaan Di Sungai Perak

21/10/2024 07:00 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan menaik taraf ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) kepada Denai Sungai Kebangsaan (DSK) di Sungai Perak, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata usaha menaik taraf itu yang melibatkan jajaran Kampung Kepala Pulau hingga ke Kampung Geronggong di Parlimen Pasir Salak sepanjang tiga kilometer (km) hanya boleh dilaksanakan sekiranya mempunyai ruang yang sesuai.

“Ban sepanjang tiga km tersebut ketika ini mempunyai kelebaran kurang daripada dua meter dan  kebanyakan akses atau laluan masuk ke ban melibatkan tanah pemilikan individu.

“Justeru, menaik taraf ban banjir kepada DSK boleh dilaksanakan sekiranya tiada halangan daripada pemilik tanah yang terlibat. Memandangkan ban ini berfungsi sebagai satu kaedah perlindungan banjir akibat kenaikan aras sungai, keselamatan pengguna hendaklah sentiasa diutamakan,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab usul dikemukakan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) mengenai menaik taraf tebatan banjir kepada DSK di Sungai Perak.

Akmal Nasrullah berkata projek RTB Kampung Gajah Fasa 1 yang telah siap sepenuhnya pada 2019 telah mengurangkan risiko dan kejadian banjir di kawasan kampung itu termasuk Mukim Blanja, Layang-Layang, Bota, Lambor, Pulau Tiga, Pasir Salak, Pasir Panjang Ulu, Bandar, Jaya Baru dan Kota Setia melibatkan kawasan kira-kira 57,000 hektar dengan jumlah penduduk 37,000 orang.

Beliau berkata pelaksanaan RTB Kampung Gajah Fasa 2 juga dalam peringkat awal reka bentuk perunding dan akan mengambil kira pembinaan denai di beberapa lokasi yang bersesuaian sepanjang jajaran projek 31 km.

“Pembinaan denai dapat mewujudkan rasa pemilikan, kesedaran dan tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat untuk menjaga kelestarian dan keindahan sungai sekali gus mengurangkan kes pencemaran sungai.

“Pelaksanaan DSK tidak hanya tertakluk kepada peruntukan kerajaan semata-mata malah boleh diteruskan dengan penglibatan pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan mahupun komuniti setempat. Kementerian sangat menggalakkan agar DSK dibangunkan secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan penglibatan penduduk tempatan dan pihak berkepentingan amat dialu-alukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan