BELANJAWAN 2025 > BERITA

Great Eastern Takaful Dinobat Penyedia Penyelesaian Takaful Terbaik 2024

22/10/2024 07:16 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Great Eastern Takaful Bhd (GETB) mencatat satu lagi pencapaian bermakna apabila dinobatkan sebagai Penyedia Penyelesaian Takaful Terbaik 2024 di Global Islamic Finance Awards (GIFA) dan menerima Anugerah Inisiatif – Penghasilan Semula oleh Anugerah ESGBusiness.

GETB berkata pengiktirafan berprestij ini membuktikan komitmen syarikat terhadap kecemerlangan dan inovasi dalam industri takaful, di samping memperkukuhkan langkah dalam meningkatkan kesedaran akan kepentingan perlindungan alam sekitar melalui pendidikan dan inisiatif penghasilan semula.

Majlis Anugerah GIFA 2024 yang diadakan di Maldives, merupakan pengiktirafan terkemuka yang meraikan kecemerlangan dalam landskap kewangan global di samping memberi penghargaan kepada institusi dan individu yang telah melakar pencapaian penting dalam industri kewangan Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Takaful Shahrul Azlan Shahriman berkata pengiktirafan ini  membuktikan usaha gigih syarikat dalam menyediakan perlindungan kesihatan dan kewangan yang komprehensif kepada rakyat Malaysia.

"Dengan sokongan daripada warga kerja yang berdedikasi, perunding takaful serta rakan pengedaran yang kukuh, kami mampu berdiri teguh dalam membolehkan masyarakat untuk saling membantu pada saat yang memerlukan.

"Sebagai satu daripada pengendali takaful terkemuka di Malaysia, anugerah ini melambangkan komitmen kami untuk membantu merapatkan jurang perlindungan dalam kalangan rakyat Malaysia, dan kami akan terus memperkukuhkan perniagaan kami dengan mencapai kecemerlangan melalui peningkatan kecekapan, keterangkuman, dan transformasi digital demi kemajuan industri takaful," katanya dalam satu kenyataan.

Selain pencapaian itu, GETB turut menerima penganugerahan bagi Anugerah Inisiatif - Malaysia untuk penghasilan semula di Majlis Anugerah ESGBusiness 2024 yang diadakan di Singapura.

Penghargaan ini mengiktiraf usaha syarikat terhadap kelestarian alam sekitar menerusi inisiatif hasil semula di bawah satu daripada teras utama tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) iaitu GET-Green. 

Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap isu pencemaran plastik di samping memperkenalkan amalan hasil semula melalui pendidikan dan demonstrasi mesin berinovatif, Upcycling 2-dalam-1 kepada para pelajar dan komuniti setempat, kata Shahrul Azlan.

Sehingga kini, inisiatif ini telah berjaya menjangkau lebih 12,000 individu dan mencatatkan lebih 50,000 jam latihan.

"Kami turut percaya bahawa kelestarian dan pemerkasaan komuniti adalah berhubung kait di antara satu sama lain. Inisiatif hasil semula yang diperkenalkan ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan penghasilan sisa plastik malahan turut memberikan impak positif melalui pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat tentang tanggungjawab terhadap alam sekitar.

"Melalui program pendidikan, kerjasama tempatan dan pembangunan kemahiran, inisiatif ini telah menyatukan masyarakat untuk mencapai matlamat yang sama. Bersama-sama, kita membina masa depan yang bukan sahaja lestari tetapi juga inklusif dan memperkasakan semua pihak. Kemenangan ini adalah untuk semua yang telah menyumbang kepada kejayaan inisiatif ini,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan