BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pinjaman Berkaitan Kemampanan CapitaLand Malaysia Trust Berjumlah RM752 Juta Setakat Ini

23/10/2024 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Amanah pelaburan hartanah (REIT), CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) setakat ini meraih pinjaman berkaitan kemampanan berjumlah RM752 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn Bhd (CMRM) Tan Choon Siang berkata syarikat itu berpeluang menikmati kos pembiayaan yang lebih rendah memandangkan ini meningkatkan prestasi kemampanan portfolionya.

“Kami akan terus memperhebat usaha dalam kewangan mampan susulan peralihan kami kepada perniagaan berkarbon rendah. Kemampanan kekal sebagai teras terhadap apa yang kami laksanakan, dan kami akan terus memacu kemajuan yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Beliau berkata baru-baru ini CLMT menerima penarafan tiga bintang bagi pelaburan tetap menerusi penilaian hartanah Penanda Aras Kelestarian Hartanah Hijau Global (GRESB) 2024.

Penilaian hartanah GRESB adalah penanda aras global yang merekodkan maklumat mengenai prestasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus dan amalan terbaik kemampanan bagi dana hartanah dan syarikat di seluruh dunia.

Skor keseluruhan CLMT iaitu 78 daripada 100 melebihi purata GRESB global, dan turut mencapai skor maksimum dalam kategori pengurusan dan tadbir urus.

Menurut Tan, CMRM telah meningkatkan usaha untuk menyahkarbon portfolionya bagi mewujudkan impak positif kepada alam sekitar.

"Langkah ini termasuk melaksanakan pajakan hijau, meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu dalam hartanah, mencapai pensijilan bangunan hijau dan mengekalkan standard tadbir urus yang tinggi," katanya.

Tan berkata syarikat itu juga sedang meneroka kaedah inovatif untuk menyahkarbon dan meningkatkan prestasi alam sekitar hartanah di samping berusaha ke arah mencapai 100 peratus pensijilan hijau portfolionya menjelang 2030.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan