BELANJAWAN 2025 > BERITA

Indonesia Nyatakan Sokongan Penuh Terhadap Kepimpinan Malaysia Sebagai Pengerusi ASEAN 2025

24/10/2024 12:52 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 24 Okt (Bernama) -- Menteri Luar Indonesia yang baharu dilantik, Sugiono mengesahkan sokongan penuh negara itu terhadap Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada 2025.

Ini dinyatakan semasa pertemuan dua hala dengan Menteri Ekonomi Malaysia Rafizi Ramli di luar sidang kemuncak BRICS Plus 2024 di Kazan, Rusia, menurut kenyataan Kementerian Luar Indonesia.

Dalam pertemuan itu, Sugiono merakamkan penghargaan atas kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis pelantikan Presiden dan Naib Presiden Indonesia pada 20 Oktober di Jakarta.

Beliau menekankan kepentingan kerjasama khususnya dalam bidang pendidikan dan pembangunan sumber manusia melalui program pertukaran pelajar antara institusi pendidikan di kedua-dua negara.

Sementara itu, Rafizi merakamkan penghargaannya terhadap kepimpinan Indonesia di peringkat serantau dan global dan menekankan bahawa pengaruh Indonesia adalah penting untuk meningkatkan peranan ASEAN di peringkat global.

Kedua-dua menteri itu juga bertukar pandangan mengenai dinamik serantau dan global, termasuk pengembangan keahlian BRICS dan implikasinya terhadap landskap politik dan ekonomi rantau ini.

BRICS, sebuah organisasi antara kerajaan yang ditubuhkan oleh Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan untuk menangani isu global semasa.

Sementara itu, menerusi kemas kini di akaun Instagram (@sugiano_56), Sugiono meluahkan kegembiraannya apabila bertemu Rafizi buat kali pertama.

Dalam catatan yang sama, Sugiono menyebut kedua-duanya telah membincangkan pengukuhan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia termasuk dalam bidang pendidikan dan pembangunan sumber manusia.

“Saya juga menyampaikan sokongan penuh Republik Indonesia untuk Pengerusi ASEAN Malaysia pada 2025,” katanya dalam kemas kini itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan