BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Komited Cipta Pendekatan G2G Dengan China Untuk Sokong Industri Keluli

24/10/2024 04:24 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Malaysia komited bekerjasama dengan China untuk mewujudkan pendekatan kerajaan dengan kerajaan (G2G) bagi pengurusan kapasiti dan perkongsian teknologi dalam industri keluli.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata kerajaan juga menggalakkan perbincangan mengenai cabaran industri keluli dan potensi kerjasama dengan China di peringkat ASEAN.

Katanya, terdapat keperluan untuk menambah baik struktur tadbir urus industri besi dan keluli negara.

Pada masa ini, menurutnya, terdapat pelbagai badan seperti Majlis Keluli Malaysia (MSC) dan Institut Keluli Malaysia (MSI).

"Kami melihat keperluan untuk memperbaiki MSC bagi memastikan ia mengadakan pertemuan dengan lebih kerap dan menerima input yang lebih mantap daripada industri.

“Begitu juga, MSI juga memerlukan pembaharuan menyeluruh dalam peranannya untuk menjadi sumber input dasar yang kukuh dan boleh dipercayai,” katanya dalam ucapan pada Persidangan Ke-14 Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF) mengenai Status serta Tinjauan Besi Malaysia & Industri Keluli di sini hari ini.

Liew berkata industri menghadapi dua cabaran kritikal pada waktu ini iaitu lebihan kapasiti dan peralihan hijau.

Katanya ketidakseimbangan antara kapasiti produk panjang tempatan dan jumlah produk rata yang diimport mesti ditangani.

“Dengan pelaburan yang ditujukan ke arah membina kapasiti tempatan dalam pengeluaran dan penggunaan produk rata, kami berharap dapat melihat peningkatan dalam ketidakseimbangan ini dan peningkatan dalam kemampanan ekonomi industri,” katanya.

Namun, katanya pemain industri perlu berwaspada terhadap pelepasan karbon yang akan berlaku, malah, jika semua kapasiti keluli yang diluluskan beroperasi, pelepasan tersebut akan setara dengan enam loji jana kuasa arang batu dan akan mencabar komitmen Malaysia untuk mencapai sifar karbon menjelang 2050.

Beliau berkata pendekatan perlu diwujudkan untuk memudahkan peralihan hijau industri besi dan keluli.

“Ini membawa kita kepada pengenalan cukai karbon kepada industri, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan Belanjawan 2025.”

“Setelah dilaksanakan, antara lain, cukai karbon yang dikutip boleh digunakan untuk membiayai peralihan hijau industri besi dan keluli,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan