BELANJAWAN 2025 > BERITA

Peniaga Diminta Berunding Dapatkan Persetujuan Pembangunan Semula Pasar Dato Keramat

24/10/2024 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKM) Cawangan Dato Keramat diminta mengadakan perbincangan segera dengan peniaga Pasar Dato Keramat di sini, bagi mendapatkan persetujuan untuk pembangunan semula pasar itu.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata Perdana Menteri Datuk Seri  Anwar Ibrahim telah mengarahkan beliau untuk turun padang melihat perkembangan penambahbaikan segera oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar pasar, yang antara lain melibatkan jalan, pendawaian dan lurang (manhole).

Bagaimanapun beliau berkata terdapat struktur pasar seperti bumbung yang berusia lebih 40 tahun tidak boleh dibaik pulih dan perlu dibangunkan semula untuk keselesaan serta keselamatan peniaga dan pengunjung pasar berkenaan.

“Masalah utama peniaga ialah mereka hendak berniaga apabila pasar dibangunkan semula dan saya telah meminta isu itu diselaras dengan Pejabat Parlimen Titiwangsa, DBKL dan PPPKM Cawangan Dato Keramat.

“Maknanya kita perlu mendapatkan persetujuan secara prinsip daripada peniaga dahulu  dan akan ada satu atau dua kawasan sebagai kawasan sementara atau transit untuk mereka terus berniaga,” katanya kepada Bernama selepas melawat pasar itu hari ini.

Muhammad Kamil berkata persetujuan bersama penjaja penting, bukan hanya untuk memudahkan proses pembangunan semula, tetapi juga untuk mengelakkan permasalahan atau perkara berbangkit kemudian hari.

Pada 26 Julai lepas Anwar yang juga Menteri Kewangan telah melawat pasar berkenaan dan mengarahkan DBKL untuk memberi perhatian dan keutamaan kepada pembangunan semula pasar tersebut yang disifatkan sebagai sangat daif.

Sementara itu Pengerusi PPPKM Cawangan Dato Keramat Mohamed Tarmizi Mohamed Akil berkata pihaknya tidak menolak pembangunan semula pasar tersebut yang telah lama dirancang, namun mahu jaminan diberikan dalam beberapa perkara.

“Kebanyakan peniaga di sini trauma dalam isu berkaitan perpindahan kerana mungkin timbul pelbagai masalah. Sebagai contoh, dulu ada sebahagian peniaga iaitu kira-kira 100 orang diarahkan berpindah ke tempat lain, tetapi mereka tidak boleh berniaga di sana dan gulung tikar.

“Ini berbeza dengan peniaga yang kekal di sini, masih berniaga hingga ke hari ini. Jadi untuk langkah akan datang, perlu ada perjanjian dan jaminan seperti tempoh perpindahan, lokasi berniaga kerana kami menyara keluarga dan ada komitmen perlu ditanggung,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan