BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bahasa Kebangsaan 'Tiang Seri' Kepada Pembinaan Negara Bangsa - Aaron

24/10/2024 07:35 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Bahasa Kebangsaan adalah antara ‘tiang seri’ dalam pembinaan negara bangsa yang menekankan elemen kebersamaan dalam kalangan rakyat melalui bahasa, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa, Bahasa Melayu tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan, selain kedudukan bahasa itu sebagai bahasa rasmi dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

“Peruntukan ini mencerminkan komitmen negara untuk memelihara dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai satu simbol perpaduan.

“Hala tuju ini juga dinyatakan dengan jelas di bawah Dasar Perpaduan Negara yang telah digubal berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, dengan Bahasa Melayu perlu terus dipelihara dan dimartabatkan sebagai bahasa yang mencerminkan identiti nasional, serta mampu menyimpul kukuh ikatan perpaduan negara yang berbilang bangsa sebagai bahasa pengantar utama,” katanya.

Aaron berkata demikian dalam ucapan perasmian Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan menerusi Kementerian Perpaduan Negara telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasakan Bahasa Kebangsaan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama, dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Kementerian Pendidikan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sebagai contoh, Aaron merujuk kepada penyediaaan perkhidmatan rujukan maklumat Malaysiana menerusi Perpustakaan Negara Malaysia, penganjuran Bengkel Bahasa Melayu untuk Ekspatriat, program Kalam Karyawan dan penganjuran Bulan Bahasa Kebangsaan.

Mengenai program hari ini, Aaron berkata Pertandingan Teater Bahasa Melayu SJKC Peringkat Kebangsaan menjadi wahana, bagi menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul, indah, dan tertib, selain teater dipertontonkan sarat dengan nilai murni serta teladan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan