BELANJAWAN 2025 > BERITA

UOB Heartbeat Run 2024 Raih RM2.185 Juta Untuk Kebajikan

24/10/2024 07:57 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- UOB Heartbeat Run 2024, program tahunan utama UOB Malaysia untuk kesukarelaan dan mengutip dana, berjaya meraih RM2.185 juta bagi tujuan amal untuk memperbaiki kehidupan kanak-kanak kurang bernasib baik dan merapatkan jurang peluang pendidikan.

Dana diraih tahun ini melebihi RM2 juta yang dikumpul tahun lepas dan akan disumbangkan kepada Food Aid Foundation, Generasi Gemilang, HOPE Worldwide Malaysia dan SOLS Foundation.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Ng Wei Wei berkata pihaknya percaya institusi kewangan boleh berperanan lebih luas daripada sekadar perkhidmatan perbankan.

“Semangat ditunjukkan kakitangan UOB Malaysia dalam mengumpul dana semasa kempen UOB Heartbeat Run 2024, mencerminkan komitmen kami untuk memperbaiki kehidupan dan membantu golongan kurang bernasib baik.

“Saya berterima kasih kepada semua rakan sekerja, pelanggan dan rakan perniagaan yang menyumbang dan bersama kami dalam perjalanan ini untuk membina komuniti yang lebih kukuh dan inklusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada program berterusan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) UOB Heartbeat, acara tahunan ini bertujuan mewujudkan kebaikan berkekalan demi masyarakat yang lebih prihatin dan inklusif melalui filantropi korporat, kerjasama pemegang kepentingan dan penglibatan kakitangan.

“Berpandukan nilai bank iaitu Hormat, Berdaya Usaha, Bersatu dan Komited, UOB menghimpunkan rakan sekerja, pelanggan dan rakan perniagaan untuk memberi kesan positif kepada komuniti kita. Untuk mengumpul dana, kakitangan UOB Malaysia menganjurkan pelbagai aktiviti seperti bazar makanan, jualan amal, pencarian harta karun dan ikrar amal daripada beberapa pengurusan kanan bank,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama, UOB berkata UOB Heartbeat Run diadakan secara global di 18 pasaran operasi bank berkenaan.

Kutipan dana ini mencapai kemuncak dengan larian edisi ke-16 UOB Malaysia di The Arc @ Rimbayu pada 29 Sept, yang menyaksikan lebih daripada 5,500 peserta termasuk kakitangan bank, keluarga, rakan, pelanggan dan rakan perniagaan berhimpun.

Pada awal tahun ini, UOB Malaysia melancarkan program CSR baharu bersama SOLS Foundation, antara penerima manfaat UOB Heartbeat Run.

“Melalui program ini, UOB Malaysia berhasrat meningkatkan kehidupan komuniti yang terpinggir melalui beberapa inisiatif seperti tajaan kewangan dan bimbingan untuk pelajar kurang bernasib baik di Akademi Solar SOLS.

“Inisiatif lain termasuk pemasangan panel solar PICO di rumah komuniti yang terpinggir di lokasi luar grid dan tajaan sistem fotovoltaik solar di pusat amal pertubuhan bukan kerajaan tempatan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif SOLS Foundation Daniela Strimbei berkata dengan sokongan UOB Malaysia dan program CSR yang sedang berjalan, mereka akan terus melaksanakan inisiatif transformasi untuk belia dan komuniti B40.

Inisiatif ini termasuk pendidikan dan latihan, sokongan pekerjaan serta elektrifikasi luar bandar untuk rumah Orang Asli.

“Sumbangan ini melangkaui hal penyediaan akses kepada pendidikan dan pemasangan tenaga. Ia juga akan mendorong peningkatan yang bermakna dalam kualiti hidup dan pembangunan komuniti. Kesan ini hanya boleh dicapai melalui kerjasama mantap seperti ini dan kami amat berterima kasih atas peluang ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan