BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sunsuria Akan Tubuhkan Dua Lagi Kampus Concord Disebabkan Permintaan Tinggi

25/10/2024 08:14 AM

SEPANG, 24 Okt (Bernama) -- Pemaju hartanah tersenarai di Bursa Malaysia, Sunsuria Bhd merancang menubuhkan dua lagi kampus Sekolah Antarabangsa Concord College (CCIS) di Malaysia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Sunsuria Education Tan Ling Ling.

Beliau berkata keputusan berkenaan dibuat berikutan jumlah pengambilan pelajar yang memberangsangkan dan permintaan yang semakin meningkat untuk sekolah antarabangsa di sini.

Tan bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah peruntukan untuk penubuhan dua lagi kampus Concord, kerana ia masih pada peringkat awal perancangan.

“Kami berhasrat menubuhkan dua lagi sekolah antarabangsa Concord di Malaysia. Sudah tentu, ini rancangan jangka panjang. Kami memberi keutamaan kepada kualiti akademik dengan sokongan daripada pasukan akademik yang kukuh, kerana kami bekerjasama dalam membentuk masa depan anak-anak kita,” katanya pada sidang media selepas pelancaran CCIS baru-baru ini di Sunsuria City, di sini.

Tan berkata CCIS di Sunsuria City dijangka mempunyai kira-kira 400 pelajar pada tahun akademik akan datang.

Pada Julai, Pengerusi Eksekutif Sunsuria Tan Sri Ter Leong Yap dilaporkan berkata rancangan sedang dijalankan untuk mengembangkan Concord ke seluruh negara - dengan kampus tambahan di Ampang dan Pulau Pinang. Beliau bagaimanapun, menekankan keutamaan sekarang ialah memastikan kejayaan operasi CCIS di Sunsuria City.

CCIS mula menerima pelajar pada 2 Sept. Terletak kawasan seluas 4.046 hektar di Sunsuria City, sekolah ini menawarkan pendidikan yang luas dan seimbang berdasarkan English National Curriculum untuk peringkat Rendah, Menengah dan Sixth Form (A-Level), untuk pelajar berusia lima hingga 18 tahun.

Tan berkata CCIS merupakan sekolah antarabangsa pertama di ASEAN yang berasaskan Concord College, sebuah sekolah harian dan berasrama antarabangsa terkemuka di Shropshire, United Kingdom yang baru-baru ini tersenarai antara 10 sekolah swasta terbaik di UK oleh Ivy Education.

“Concord menawarkan pilihan sekolah harian dan berasrama yang memenuhi keperluan pelajar di Malaysia dan sekitar Asia,” katanya.

Antara kemudahan yang sesuai dengan peringkat umur di Concord ialah bilik darjah, perpustakaan, dewan ujian, studio seni, bilik latihan muzik, dewan sukan, gimnasium, studio tarian dan kolam renang luar bersaiz separuh Olimpik.

Sementara itu, berkongsi keunikan sekolah berkenaan, Pengetua Global Concord College Neil Hawkins berkata Concord menekankan tiga nilai teras: ketegasan, kebaikan dan kreativiti, dengan tujuan membentuk generasi akan datang melalui pendidikan dengan standard akademik tertinggi, disokong oleh kemudahan kampus bertaraf tinggi.

“Banyak sekolah mempunyai idea dan pendekatan yang berbeza tetapi apa yang membuatkan sekolah itu hebat adalah kesederhanaan yang digabungkan dengan nilai teras yang kuat. Dengan tiga nilai teras ini, kami berhasrat menjadikan Concord sebagai sekolah terbaik di Malaysia dan rantau ini,” katanya.

Hawkins berkata Sunsuria Bhd pada September telah menandatangani Perjanjian Eksklusif Wilayah dengan Concord, yang memberikan hak eksklusif kepada Sunsuria untuk menubuh dan mengendalikan CCIS baharu di Malaysia, Singapura, Taiwan, Hong Kong, Jepun, Korea, India dan pasaran lain di seluruh Asia Tenggara dan Asia Selatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan